HomeNostalgiaPaolo Maldini : "Saya Adalah Kegagalan Terbesar Dalam Sejarah Bolasepak"

Paolo Maldini : “Saya Adalah Kegagalan Terbesar Dalam Sejarah Bolasepak”

Paolo Maldini, tanpa ragu adalah salah seorang pemain pertahanan terbaik pernah disaksikan dalam dunia bolasepak moden.

Nama yang cukup ikonik dalam kalangan peminat bolasepak dengan reputasi ampuh, legenda AC Milan dan Itali ini telah menjadi fenomena era 90-an, disegani dan dikagumi kawan mahupun lawan.

Namun dalam satu podcast santai bersama Christian Vieri, bekas rakan sepasukannya di Itali, Paolo Maldini membuat kenyataan mengejutkan bahawa dirinya adalah ‘loser’ dan kegagalan terbesar dalam sejarah bolasepak.

Apa yang membuatkan Paolo Maldini melabel dirinya sedemikian sekali, dia memberitahu sebabnya.

“Dalam perjalanan panjang karier hampir 30 tahun bersama Milan dan 15 tahun menyarung jersi Itali, saya menempa pelbagai kejayaan dan kemasyuran. Tetapi saya adalah kegagalan terbesar dalam bolasepak.

“Saya menang lima Piala Eropah (Champions League), tetapi saya tewas tiga final termasuk malam famous di Istanbul, tiga final Intercontinental Cup, satu Piala Super Eropah, satu final Piala Dunia, satu final Euro, tewas di separuh akhir Piala Dunia, tak menang Golden Ball ketika prestasi di kemuncak, dan senarainya tidak akan habis.

Tidak bertuah bersama Itali

“Menyedihkan, saya berada dalam satu pasukan yang hebat dan mempunyai peluang yang baik bersama skuad kebangsaan.

“Saya bersama Itali dalam 4 edisi Piala Dunia, tetapi tersingkir di separuh akhir menerusi penalti pada 1990, tewas penalti di final pada 1994, sangkut suku akhir pada 1998 dan 2002, yang mana kedua-duanya saya adalah kapten.

“Tetapi edisi berikutnya apabila saya tiada lagi di situ pada 2006, mereka menang Piala Dunia menerusi penalti menewaskan Perancis. Nampak tak betapa losernya saya?

“Saya sebenarnya berpeluang mewakili skuad 2006, apabila Marcello Lippi memanggil saya memperkuatkan skuad, tetapi saya menolak dengan baik sebagai menghormati janji mahu meninggalkan skuad kepada Giovanni Trapattoni (jurulatih Itali sebelum Lippi). Apabila Itali menang dengan menewaskan Perancis, ya, saya rasa saya tidak bertuah.

“Saya bersyukur atas segala kejayaan, dan saya terima kekalahan final-final yang saya tewas sebagai sebahagian daripada permainan. Jujur, saya terima segalanya,” ujarnya.

Di sebalik kegagalan-kegagalan yang menghantui Paolo Maldini, dia tetap dianggap antara pemain paling berjaya dengan koleksi lima trofi Piala Eropah (1989, 1990, 1994, 2003, 2007); tujuh kejuaraan Serie A (1988, 1992, 1993, 1994, 1996, 1999, 2004); lima trofi UEFA Super Cups (1989, 1990, 1994, 2003, 2007); tiga Piala Dunia Kelab (1989, 1990, 2007) dan satu Coppa Italia (2003).

Dia juga memegang rekod penampilan tertinggi bersama Milan (902) dan dua kali menduduki tangga ketiga Ballon d’Or pada 1994 dan 2003.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!