HomePemain Sabah & PT Athletic Bergaduh, Apa Tindakan FAM?

Pemain Sabah & PT Athletic Bergaduh, Apa Tindakan FAM?

Satu lagi insiden pemain bergaduh mencuri tumpuan ramai.

Aksi Piala Malaysia pada Rabu lalu, menyaksikan Sabah tidak bermasalah untuk melakar kemenangan dominan ke atas lawan dari A1 PT Athletic.

Sabah mencatat kemenangan 3-0 dan mara ke suku akhir dengan agregat 7-0. Kesemua gol dijaringkan di separuh masa kedua menerusi Darren Lok, Stuart Wilkin dan Joao Pedro.

Begitupun perlawanan itu dicemari dengan insiden pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan pada minit ke-55. Tidak ramai yang memperkatakannya, namun klip insiden tersebut dikongsikan pengguna facebook, Nurazhar Mohd Zin.

Dalam insiden tersebut, dua pemain Sabah iaitu Darren Lok dan Telmo Ferreira meluru untuk menyerang pemain PT Athletic, Khairul Asyraf Ramli meskipun setelah pengadil Ahmad Zulhadi Dzulkifli sudahpun meniup wisel memberikan sepakan percuma kepada Sabah.

Pemain kedua-dua pasukan terlibat dalam pergaduhan dengan pembantu pengadil turut terpaksa campur tangan untuk meleraikan keadaan. Dalam kekalutan itu juga, Zulhadi jatuh tergolek, dan sejurus bangun dia melayangkan kad kuning kepada Khairul Asyraf.

Kemudian Daniel Ting turut dilayangkan kad kuning. Namun apa yang menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan penyokong, apakah tindakan susulan FAM? Mereka menyamakan insiden tersebut dengan insiden yang berlaku ketika perlawanan Liga Super antara JDT dan Perak.

FAM Tiada Pendirian Tetap Dalam Isu Pemain Bergaduh?

Sebelum ini, dalam insiden pemain bergaduh ketika aksi Liga Super antara JDT dan Perak, walaupun pengadil telah melayangkan kad kepada Arif Aiman dan Tommy Mawat, FAM segera memulakan penyiasatan terhadap pengadil dan juga insiden yang berlaku.

Dalam tempoh kurang seminggu, tindakan diambil, di mana hukuman gantung tiga perlawanan dikenakan ke atas Arif Aiman dan Tommy Mawat Bada.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, kedua-dua pemain itu telah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan ‘fair play’ dalam perlawanan Liga Super tersebut.

Arif Aiman dikenakan tindakan kerana menumbuk muka Tommy Mawat. Manakala Tommy Mawat didapati bersalah menanduk kepala dan mencengkam leher Arif Aiman semasa perlawanan Liga Super.

Pengadil Razlan Jofri dan pembantunya yang gagal membuat keputusan tepat pula direhatkan untuk dua perlawanan.

Justeru itu, apakah Jawatankuasa Penilaian Pengadil dan Jawatankuasa Tatatertib FAM akan menyiasat insiden ini?

Jika Razlan Jofri boleh dikenakan hukuman, bukankah ianya wajar untuk mereka turut membuat penilaian prestasi Ahmad Zulhadi Dzulkifli.

Dalam masa sama bukankah dua pemain Sabah yang meluru untuk memulakan pergaduhan juga perlu dihukum. Atau adakah undang-undang FAM hanya terpakai untuk perlawanan dan pemain berprofil tinggi?

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!