HomePanoramaPengorbanan Seorang Ayah, Derma Buah Pinggang Selamat Nyawa Anak

Pengorbanan Seorang Ayah, Derma Buah Pinggang Selamat Nyawa Anak

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah menemanimu sepanjang hidup.

Itu ungkapan tepat buat menggambarkan pengorbanan seorang bapa, Rosly Delniah, yang mendermakan buah pinggang kepada anaknya, Muhammad Firdaus Rosly.

Firdaus disahkan menghidap masalah buah pinggang tahap akhir pada tahun lalu, yang mana membahayakan nyawanya jika tidak dilakukan pembedahan.

Hati bapa mana yang tidak luluh, apabila anak yang baru berusia 23 tahun dan masih jauh perjalanan hidup ditimpa nasib sedemikian rupa.

Justeru, tanpa menghiraukan kesihatan diri pada usia 56 tahun, dan demi memberi anaknya satu kehidupan baru, Rosly atau dikenali sebagai Ayah Nik dalam kalangan ahli keluarga nekad membuat keputusan besar tersebut.

Pembedahan pemindahan buah pinggang telah dijalankan pada November lalu, dan Firdaus jelas tidak dapat mengungkapkan ucapan terima kasih terhadap pengorbanan ayahnya melalui kata-kata.

“Terima kasih abah, kerana sanggup bagi buah pinggang dekat saya, itu umpama beri saya peluang kedua untuk hidup,” ungkap Firdaus penuh sebak.

“Ia bermula ketika saya disahkan oleh doktor kena buat pembedahan dan jika tidak akan merisikokan nyawa, tetapi mereka cakap giliran menunggu saya mungkin menjangkau 20 tahun.

“Ketika itu jugalah, abah sudah terdetik untuk dermakan buah pinggangnya kepada saya. Pada mula saya berat hati nak terima sebab dia sudah tua, ada pulak sakit tiroid dan saya risau apa-apa akan berlaku dekat dia.

“Abah kesian tengok keadaan saya sebab kena lalui satu proses Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan (CAPD) atau dialisis cuci air, sangat sakit,” kata Firdaus yang berasal dari Selising, Kelantan.

Baca juga: Masalah Pendengaran, Punca dan Jenis Rawatan

Menjelaskan lebih lanjut, Firdaus berkata proses pemindahan buah pinggang itu mengambil masa setahun kerana perlu mengikuti segala prosedur yang ditetapkan pihak hospital.

“Mula-mula dengar abah kata nak dermakan buah pinggang, saya sedih dan menangis, dalam masa sama bersyukur juga sebab abah sanggup bagi. Sampai sekarang saya rasa tak terbalas jasa abah.

“Saya masih ingat, waktu itu saya minta maaf sebab banyak buat salah. Abah pula cakap, tak apa ini semua buat masa depan, saya masih muda dan dia sanggup buat apa sahaja untuk saya.

“Pembedahan baru-baru ini mengambil masa empat jam untuk abah dan lima jam untuk saya. Alhamdulillah, kini disebabkan abah, saya boleh jadi macam dahulu balik, terima kasih abah insya-ALLAH saya akan cuba bahagiakan kedua ibu bapa serta niat saya nak bawa mereka menunaikan umrah, dipermudahkan,” ujarnya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!