HomeSukanPergaduhan Liga Suparimau: Team Disingkirkan, Jurulatih Digantung

Pergaduhan Liga Suparimau: Team Disingkirkan, Jurulatih Digantung

Susulan insiden pergaduhan melibatkan pasukan Villarreal Malaysia Academy dan Black Hunter dalam perlawanan Liga Suparimau di Ardence Arena pada 17 Mei lalu, pihak penganjur telah mengambil tindakan segera.

Pengarah kejohanan Liga Suparimau, William Kucia, memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat dan perkara itu telah dibawa ke perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan disiplin selanjutnya.

“Kami telah menggugurkan pasukan yang dikenal pasti sebagai pencetus kejadian, manakala jurulatih pasukan lawan pula digantung tugas tanpa tempoh yang ditetapkan kerana penglibatannya dalam insiden tersebut,” kata Kucia.

“Laporan polis telah dibuat dan pihak berkuasa telah mengambil tindakan sewajarnya. Kami juga telah menyerahkan laporan kepada FAM untuk dibawa ke jawatankuasa tatatertib mereka bagi tindakan lanjut.

“Sehingga diberitahu kelak, semua perlawanan Liga Suparimau di daerah Selangor tidak akan membenarkan kehadiran penonton di dalam kawasan venue (Ardence Arena).”

Kucia turut menegaskan bahawa semua pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga Suparimau — sebuah kejohanan bola sepak akar umbi yang bertujuan mencungkil bakat muda — telah dimaklumkan mengenai insiden ini serta diberi peringatan bahawa perlakuan seperti ini tidak akan sesekali diterima.

Ini merupakan insiden pergaduhan kedua yang berlaku dalam Liga Suparimau, selepas kejadian serupa melibatkan dua pasukan Bawah 16 tahun pada tahun 2023.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!