HomeSukanPiala Cabaran: Selangor Muncul Juara Penuh Bergaya

Piala Cabaran: Selangor Muncul Juara Penuh Bergaya

Selangor menoktahkan kemarau trofi 10 tahun, setelah muncul juara Piala Cabaran dengan membenam juara bertahan PDRM FC penuh bergaya dalam aksi final.

Skuad Katsuhito Kinoshi berada dalam kelas tersendiri apabila menewaskan PDRM 4-0 dan muncul pemenang mutlak dengan agregat 7-0.

Jelas sekali, tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ‘merampas’ dua gol yang dijaringkan skuad Eddy Gapil dalam aksi pertama gara-gara kesalahan menurunkan pemain yang digantung, membunuh semangat melawan PDRM sejak sebelum sepak mula lagi.

Hasilnya Selangor bermaharajalela mendominasi perlawanan, dan tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan menerusi Ali Olwan seawal minit keempat.

Selang enam minit kemudian, giliran Yohandry Orozco pula melebarkan kelebihan buat Red Giants sebelum Ronnie Fernandez menewaskan Bryan See menerusi tandukan untuk gol ketiga pada minit ke-30.

Mendahului selesa secara agregat, Selangor mengendurkan asakan di separuh masa kedua dan menambah hanya satu jaringan menerusi Orozco pada minit ke-80.

Kejayaan ini bukan sahaja menyaksikan Selangor menambah koleksi trofi dalam kabinet mereka, tetapi menjadi pasukan pertama untuk menjulang kesemua piala dipertandingkan di pentas domestik.

Sebagai pasukan paling berjaya dalam arena bolasepak tempatan, Selangor sebelum ini telah merangkul kejuaraan liga sebanyak lapan kali membabitkan saingan dua divisyen iaitu Liga Malaysia, Liga Semi Pro Divisyen Satu dan Divisyen Dua, Liga Perdana, Liga Perdana Satu, Liga Perdana Dua, dan terakhir menjulang Liga Super pada 2010.

Tidak ketinggalan, Selangor juga pernah menjulang Piala FAM sebanyak tujuh kali dan Piala Sumbangsih sebanyak lapan kali.

Manakala dalam pentas Piala FA, Selangor telah muncul juara sebanyak sebanyak lima kali dengan yang terakhir adalah pada 2009, setelah menewaskan Kelantan menerusi tendangan penalti.

Dalam saingan Piala Malaysia pula, siapa boleh menafikan rekod cemerlang Selangor, telahpun menjulang piala yang merupakan antara tertua di rantau Asia Tenggara itu sebanyak 33 kali – kali terakhir dengan menewaskan Kedah pada 2015.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!