Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan mengejutkan pada malam sebelum final kedua Piala Cabaran, apabila menghukum PDRM FC dengan denda dan juga pelucutan hak perlawanan yang menyaksikan pasukan itu diisytihar sebagai tewas 3-0 dalam aksi pertama yang berlangsung 15 Februari lalu.
PDRM pada asalnya tewas 3-2 kepada Selangor dalam perlawanan tersebut, dengan kekalahan tipis itu bermakna mereka masih berpeluang cerah melakukan comeback.
Namun dengan keputusan yang diumumkan kurang 24 jam sebelum sepak mula final kedua itu, misi PDRM kini dilihat mustahil dan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM ini juga menimbulkan perdebatan ramai dan dianggap memalukan.
Dalam kenyataan disiarkan Malaysian Football League (MFL), PDRM dikatakan bersalah kerana menurunkan Mohd Safiee Ahmad yang digantung perlawanan pada minit ke-58. Pemain itu didakwa telah mengumpul dua kad kuning iaitu ketika menentang Melaka (suku akhir pertama) dan Kedah (separuh akhir kedua).
“Sehubungan itu, PDRM FC telah dihukum dengan dilucutkan hak perlawanan dan dikira telah kalah perlawanan tersebut dengan keputusan 3-0 dan perlu membayar denda sebanyak RM3,000.
“PDRM FC juga diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini tidak boleh dirayu.
“Untuk makluman, segala urusan melibatkan penggantungan pemain adalah di bawah kendalian FAM sepenuhnya menerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM,” menurut kenyataan tersebut.
Begitupun apa yang menjadi persoalan besar adalah, adakah PDRM yang bersalah kerana menurunkan pemain yang digantung atau mereka dikambing-hitamkan FAM atas kesilapan pegawai mereka sendiri.
Ini kerana, adalah menjadi amalan lazim sebelum mana-mana perlawanan, berlangsung Mesyuarat Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP) dan pada waktu itu Match Commisioner (MC) akan memaklumkan dan mengingatkan kepada kedua-dua pasukan tentang pemain yang tidak boleh diturunkan kerana digantung.
Malah, semakan akan dibuat sekali lagi setelah senarai pemain diserahkan beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan.
Perkara ini turut dibangkitkan Haji Mohd Zaffarollah yang sebelum ini pernah berperanan sebagai pengurus pasukan PDRM FC.
“Kalau betul (PDRM buat salah), sepatutnya ia dibatalkan sebelum match. Senarai pemain diserahkan kepada MC perlawanan untuk disemak dan mendapat kelulusan.
“Dua gol PDRM dibatalkan dan Selangor mendapat bekalan selesa 3-0 untuk final kedua. Lepas tu komplain orang taknak datang stadium. Kalau kesalahan sendiri tapi cari kambing hitam orang lain.
“MC ke GC (General Coordinator) ke juga perlu diambil tindakan kerana membenarkan pemain tersebut main. Bukannya PDRM menipu senarai pemain ketika perlawanan, senarai pemain disemak sebaik sahaja pasukan tiba di bilik persalinan,” ujar Zaffarollah di laman media sosial beliau.
Tambah Zafarollah lagi, keputusan FAM ini adalah sangat memalukan arena bolasepak tanah air.
“Ingat pengurusan baharu makin mantap, makin pelik keputusannya. Persoalan yang harus FAM jawab macam mana MC perlawanan bagi kelulusan pada senarai yang dikemukakan oleh pasukan PDRM?
“Senarai pemain disemak ketika pasukan tiba di bilik persalinan. Kalau PDRM Football Club menyorok senarai dan menurun pemain tersebut barulah difikirkan satu kesalahan.
“Kealpaan dan kelalaian MC perlawanan merosakkan perlawanan akhir ke-2 esok. FAM kena akui kelemahan pegawai mereka sendiri bukan cari kambing hitam,” ujarnya.
Dengan kelebihan besar tiga gol milik Red Giants, final Piala Cabaran di Stadium MBPJ boleh dikatakan sudah hilang serinya.