HomeSukanRasa Berbaloi Labur RM3,000 Demi Saksikan United Depan Mata

Rasa Berbaloi Labur RM3,000 Demi Saksikan United Depan Mata

Demi melihat kelab kesayangan mereka beraksi di depan mata, ada yang sanggup berhabis ribuan ringgit dan menempuh perjalanan beribu kilometer ke Malaysia.

Itulah semangat luar biasa yang ditunjukkan peminat Manchester United dari luar negara yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan aksi Red Devils menentang pasukan pilihan ASEAN All Stars malam ini.

Antara yang mencuri tumpuan ialah Tanagra Fisa, seorang peminat fanatik dari Jakarta, Indonesia. Gadis berusia 23 tahun itu berkongsi bahawa dia telah membelanjakan lebih RM3,000 bagi merealisasikan impian menyaksikan perlawanan tersebut secara langsung di stadium.

“Jumlah itu termasuk tiket penerbangan, penginapan, tiket masuk stadium, makan dan minum sepanjang empat hari saya berada di sini. Tapi bagi saya, semuanya berbaloi.

“Rasa teruja dan gembira memang sukar digambarkan, lebih-lebih lagi bila dapat lihat pemain kegemaran seperti Alejandro Garnacho secara dekat. Nak ke England terlalu jauh dan kosnya jauh lebih tinggi, jadi ini peluang terbaik,” ujarnya dipetik dari BH Sukan.

Meskipun hanya perlawanan persahabatan, Manchester United tetap menurunkan skuad utama mereka termasuk Bruno Fernandes, Casemiro, Andre Onana, Harry Maguire dan Victor Lindelof — cukup untuk menguja para penyokong setia mereka di Asia Tenggara.

Pasukan ASEAN All Stars pula dibarisi pemain-pemain terbaik dari rantau ini seperti Sergio Aguero (Malaysia), Mo Kan (Kemboja), Bounphachan Bounkong (Laos), dan Do Duy Manh (Vietnam), selain kehadiran empat pemain dari Australia yang memperkuatkan lagi pasukan.

Sejak jam 3 petang, suasana di sekitar Bukit Jalil sudah mula hangat dengan kehadiran ribuan penyokong, meskipun sepak mula hanya dijadualkan pada 8.45 malam. Lebih 70,000 penyokong dijangka memenuhi stadium, sekali gus menjadikan acara ini antara penganjuran bola sepak yang berjaya di Malaysia.

Turut berkongsi semangat sama ialah Kyawswar, peminat dari Myanmar yang turut melaburkan lebih RM3,000 demi menyaksikan perlawanan ini secara langsung.

“Musim lalu mungkin bukan musim terbaik buat United, tapi kehadiran puluhan ribu penyokong malam ini menunjukkan semangat penyokong tidak pernah luntur.

“Sekali jadi penyokong Manchester United, selamanya kami tetap bersama. Saya yakin malam ini mereka akan beri persembahan terbaik, itu yang kami semua nanti-nantikan,” katanya penuh harapan.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!