HomeSukanSampai Bila Mahu Bergantung Kepada Orang Luar? - Penganalisis

Sampai Bila Mahu Bergantung Kepada Orang Luar? – Penganalisis

Sampai bila arena sukan, khususnya bolasepak mahu bergantung kepada kepakaran dari luar negara? Demikian persoalan dibangkitkan pemerhati dan penganalisis bolasepak tanah air, Mohd Sadek Mustafa.

Beliau melihat langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik individu dari luar negara sebagai wajar dalam usaha memulihkan prestasi skuad kebangsaan.

Namun menurutnya ‘orang kita sendiri’ mempunyai kualiti dan menegaskan sesuatu perlu dilakukan terutamanya memberi pendedahan kepada individu-individu dalam sukan berprestasi tinggi agar kita tidak selamanya bergantung kepada orang luar.

“Walaupun kita telah merdeka selama 67 tahun, tetapi kita masih memerlukan pakar luar untuk meletakkan sukan negara di pentas dunia.

“Itu yang perlu kita lihat semula sama ada kita masih dijajah dalam aspek itu atau kita sendiri tidak membuka ruang untuk menghantar rakyat Malaysia yang ada potensi untuk berguru di luar negara dan kembali menjadi guru yang baik dalam negara.

“Sejauh manakah ruang untuk pembelajaran dalam pentadbiran sukan prestasi tinggi itu diberikan perhatian. Kita menghantar jurutera, doktor, peguam, akauntan dan sebagainya dalam bidang profesional lain ke luar negara.

“Sekarang, kita telah menjadi hub dan ada pakar dalam bidang tersebut, tetapi kenapa dalam bidang sukan terutama bola sepak, kita masih bergantung kepakaran luar,” katanya kepada Sukan Sinar.

Tambah Sadek lagi,“Kita perlu membuka ruang seluas-luasnya kepada jurulatih tempatan misalnya untuk menjadi pakar dalam sukan bola sepak dan belajar semua konsep permainan seperti di Eropah dan sebagainya.

“Kita tak nak apabila jurulatih atau pakar luar ini sudah habis khidmatnya di negara kita, maka kita akan prestasi kita merudum, kembali menjadi ‘zero’ susulan tiada pakar tempatan untuk memacu sukan bola sepak atau juga sukan lain.”

Baru-baru ini FAM telah mengumumkan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih baru skuad kebangsaan menggantikan jurulatih sementara Pau Marti Vicente, manakala Vicente sendiri sebelum itu menggantikan Kim Pan-gon yang meletakkan jawatan.

Ia kemudian disusuli dengan pengumuman pelantikan Robert Douglas Friend sebagai CEO Harimau Malaya, serta saintis terkemuka Dr Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan.

Hanya Nafuzi Zain setakat ini satu-satunya anak tempatan dalam struktur baru Harimau Malaya, apabila dipertanggungjawabkan mengemudi skuad B-23 kebangsaan.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!