HomeSukan"Selangor No.1 Dalam Pembangunan Ubi Muda Dalam Negara"

“Selangor No.1 Dalam Pembangunan Ubi Muda Dalam Negara”

“Selangor adalah peneraju pembangunan ubi muda dalam negara.”

Itu tegas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk PS Sugumaran. Beliau tidak sedikitpun ragu untuk menyatakan mereka jauh lebih baik daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di dalam menganjurkan liga remaja.

Ini katanya berdasarkan kepada peningkatan jumlah perlawanan yang dianjurkan saban tahun, di sebalik kos yang semakin meningkat.

“Pada 2022, FAS menganjurkan 913 perlawanan merentasi 14 divisyen, termasuk bagi kategori kanak-kanak perempuan, wanita dan pertandingan peringkat pembangunan.

Pada 2023, jumlah ini meningkat kepada 1,286, manakala pada 2024 pula meningkat lagi kepada 1,644 dari Januari hingga Disember,” kata Sugumaran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan Tempatan FAS, sepertimana dilaporkan NST Sports.

Beliau menegaskan FAS memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan ubi muda: “Pada 2024 sahaja, kami menganjurkan 628 perlawanan liga junior. Saya percaya ini mengatasi jumlah dianjurkan Liga Suparimau FAM, yang mana hanya berlangsung tiga bulan.

“Sedangkan pertandingan anjuran kita berlangsung sepanjang tahun meliputi umur 8 hingga 18. Kos penganjuran adalah sekitar RM500,000, di mana ia dibiaya melalui penajaan.

Di sebalik kos tinggi ini, komitmen kami tetap utuh. Saya merasakan jika bercakap mengenai pembangunan ubi muda di dalam negara, FAS berada di depan mengatasi FAM dan yang lain.

“Perlawanan-perlawanan ini juga menyediakan platform buat pemantau bakat untuk mengenalpasti dan menandatangani pemain berpotensi besar,” ujar beliau lagi.

Tambah Sugumaran yang turut berperanan sebagai pengurus pasukan Piala MFL (Selangor B-23), Selangor FC dalam proses menubuhkan akademi sendiri tidak lama lagi.

Akademi tersebut akan menggunapakai struktur sama seperti Akademi Mokhtar Dahari, dengan mengalu-alukan pemain bukan semata-mata dari Selangor tetapi seluruh negara.

Baca Juga: G.Pavithran Tembus Ke Skuad AFF, Kebanggaan Akademi JDT

Berminat Jawatan Naib Presiden FAM

Baru-baru ini, Sugumaran ada menyatakan hasrat bertanding merebut jawatan Naib Presiden FAM di kongres yang akan berlangsung pada 15 Februari depan.

“Hasrat saya adalah untuk bersama-sama rakan lain martabatkan semula FAM termasuk juga ahli gabungan supaya seiring dengan transformasi bola sepak negara.

“Saya juga meraikan rakan-rakan lain yang mahu bertanding kerana percaya semua mahu menyumbang sesuatu dalam mengangkat semula martabat tidak hanya skuad senior Harimau Malaya dan Harimau Muda Bawah 23 (B-23) tahun tetapi juga memperkasakan sistem pembangunan akar umbi pada masa depan,” ujarnya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!