Brendan Gan mempunyai nasihat untuk setiap pemain berdarah kacukan yang akan menyarung jersi Harimau Malaya tidak lama lagi.
Memetik laporan FlashSukan, pemain tengah KL City dan bekas tonggak skuad kebangsaan itu berkata penyertaan pemain warisan yang lebih ramai sudah tentunya dapat membantu skuad negara terus berkembang dan memberi saingan di pentas antarabangsa.
Namun menurutnya adalah penting untuk masing-masing memahami tanggungjawab terhadap lencana dan jersi kebangsaan.
“Nasihat saya kepada pemain warisan yang akan datang adalah anda perlu benar-benar mencintai lencana di dada anda.
“Bermain untuk Malaysia adalah satu penghormatan besar, dan itu perlu menjadi keutamaan setiap kali anda turun ke padang.
“Anda boleh bermain dengan baik, tetapi jika tidak ada rasa cinta dan kebanggaan terhadap jersi yang anda pakai, ia tidak cukup. Anda perlu lakukan kedua-duanya, bermain dengan baik dan mencintai lencana itu,” ujar Brendan yang merupakan antara pemain warisan terawal menyarung jersi Harimau Malaya.
Menerusi usaha Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sekurang-kurangnya enam pemain warisan berpangkalan di Eropah Selatan telah dikenalpasti untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan.
Baca Juga: FAM Tak Masuk Campur Pencarian Pemain Warisan
Melihat segala usaha yang diambil ini, Brendan menyatakan keyakinannya terhadap halatuju Harimau Malaya di bawah pengurusan dan jurulatih baru, yang disifatkannya mempunyai visi jelas memacu pasukan ke arah kejayaan.
“Saya rasa penting untuk pasukan kebangsaan mempunyai sasaran jelas tentang apa yang mahu dicapai. Dengan kumpulan pemain yang betul dan perancangan yang rapi, saya percaya masa depan Harimau Malaya akan terus cerah,” tambahnya.
Tetapi dalam masa sama, Brendan berpendapat revolusi Harimau Malaya ini, tidak sepatutnya melupakan apa yang telah dilakukan barisan kejurulatihan sebelum ini.
“Bila anda sebut revolusi, saya rasa itu agak tidak menghormati kerja keras yang telah dilakukan oleh barisan kejurulatihan sebelum ini.
“Pasukan Malaysia sudah mencapai banyak perkara positif di bawah pimpinan mereka, dan kita tidak seharusnya melupakan pencapaian itu hanya kerana satu perlawanan tidak berjalan seperti yang diharapkan,” katanya lagi.
Untuk rekod, Malaysia pada tahun lalu hanya menang lima daripada total 17 perlawanan yang diharungi dengan keputusan paling cemerlang adalah bangkit mengikat Korea Selatan 3-3 dalam saingan Piala Asia 2023.