Sri Pahang wajar melakukan apa sahaja dalam kemampuan mereka untuk menyekat Johor Darul Takzim menjaringkan gol, apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi final Piala Malaysia, Sabtu ini.
Menurut bekas pengendali PDRM, Fauzi Pilus, tiada keperluan untuk skuad Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad bermain cantik atau terbuka, kerana ia bakal mengundang padah mengambil kira reputasi gah JDT yang juga pilihan mutlak bergelar juara.
Justeru dia mencadangkan Sri Pahang agar bermain dengan pendekatan bertahan secara ekstrem walaupun mengakui ia bukan mudah memandangkan pemain perlu bekerja keras menahan asakan yang dijangka datang bertali arus dan kekal fokus sepanjang perlawanan.
“Kalau tanya saya, apa sahaja strategi harus digunakan, kalau perlu parkir satu ataupun dua bas sekalipun. Gunakanlah strategi mengikut kekuatan yang kita ada. Bermain secara terbuka, tidak akan jadi (untuk SPFC).
“Saya jangkakan akan terjadi satu pasukan yang akan bermain terbuka secara menyerang dan satu pasukan lagi hanya akan menunggu.
“Tak kisahlah bertahan secara ekstrem sekalipun, SPFC kena terima. Walaupun JDT akan menguasai permainan sekalipun, SPFC kena tetap fokus dan kekalkan ‘shape’ di kawasan sendiri.
“Ini mungkin cara terbaik untuk SPFC apabila berhadapan JDT di mana mereka kena bermain pertahanan secara klasik ketika JDT akan bermain menyerang yang dinamik dan menekan lawan. Tak perlu bermain cantik asalkan selamat,” ujar Fauzi dilaporkan BH Sukan.
Cadangan Fauzi itu walaupun akan menampakkan SPFC seperti menerap “dark arts” tetapi ia tidak menjadi kesalahan kerana lain pasukan lain cara mereka berjuang. Lebih-lebih lagi JDT telah meledak 155 gol musim ini, 21 daripadanya dalam saingan Piala Malaysia
Penyerang import Harimau Selatan, Bergson seorang telah meledak lebih 40 gol dalam semua pertandingan musin ini.