Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) membawa khabar gembira buat penyokong bolasepak tanah air apabila memaklumkan telah mengenalpasti beberapa pemain warisan bagi memperkuatkan Harimau Malaya.
Adalah diketahui bahawa Tunku Ismail yang merupakan pencetus revolusi Harimau Malaya, sebelum ini telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memburu pemain warisan berkualiti yang berpangkalan di luar negara, termasuklah bermesyuarat dengan FIFA bagi mendapatkan data yang diperlukan.
Malahan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri menegaskan usaha mendapatkan pemain warisan berkualiti adalah di bawah tanggungjawab penuh pengurusan baru Harimau Malaya di bawah Rob Friend dan ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
Ini kerana mereka lebih arif dalam mengenalpasti pemain yang tepat, dan menurut TMJ, kini senarai itu sudahpun ada, menanti untuk diproses dengan kadar segera oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kerajaan Malaysia.
“Kami telah mengenalpasti 6-7 pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya. Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia agar mereka dapat bermain untuk Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai bulan Mac ini.
“Mustahak Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif,” ujar Tunku Ismail di laman X.
Baca Juga: TMJ Kerja Dengan Team Sendiri
Dengan perkembangan terbaru ini, TMJ berjaya mengotakan janji beliau kepada penyokong yang terdahulu kecewa dengan info palsu disalurkan laman pemantau bakat frfuturetalents.
Laman itu mendedahkan lebih 30 pemain sebagai berdarah campuran dan layak mewakili Malaysia namun seorang demi seorang tampil menafikan kaitan dengan Malaysia termasuklah Josh Brownhill, Isaac Hayden dan Iggy Houben.