Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad mengakui kekalahan kepada Negeri Sembilan adalah tidak dijangka memandangkan pasukannya sedang berada dalam momentum yang bagus.
Beliau berkata mereka harus menyalahkan diri sendiri kerana tidak menunjukkan karakter sebenar dan tampil dengan terlalu banyak kekurangan berbanding skuad Negeri Sembilan yang lebih menunjukkan keinginan untuk menang.
Malah jurulatih dari Singapura itu tidak menolak cuti satu minggu ketika hujung tahun lalu adalah punca pemain-pemain nampak lemau di atas padang.
“Memang saya kesal dan kecewa dengan keputusan ini. Pergerakan kita agak perlahan, mereka kurang menguasai bola dan kemahuan untuk menang tidak ada.
“Kebanyakan pemain terutama import yang diberi cuti dan balik ke negara asal lambat balik dan mungkin kurang latihan, tapi bagi saya itu bukan alasan kerana dalam perlawanan ini NSFC jelas lebih baik dan mereka ada kemahuan tinggi, sedangkan kita kekurangan kerjasama dan banyak buang bola.
“Kita tidak dapat mendominasi perlawanan dengan baik kerana sebahagian besar pemain prestasi mereka kurang baik.
“Sebab itu, saya terpaksa buat beberapa pertukaran dengan memasukkan pemain muda, yang ada keinginan untuk bekerja keras, menyebabkan tempoh 15 minit terakhir perlawanan baru kita dapat lihat tahap kecergasan pasukan,” kata Fandi selepas perlawanan.
Dalam perlawanan di Paroi itu, Sri Pahang tidak dapat menurunkan beberapa pemain tonggak termasuklah Adam Nor Azlin dan Nor Azam Azih yang mengalami kecederaan. Manakala Manuel Hidalgo pula belum pulang selepas pulang ke Argentina sempena melangsungkan perkahwinan.
Skuad Tok Gajah bagaimanapun berada di depan menerusi Aliyu Abu Bakar yang tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit kelapan. Negeri Sembilan bangkit menerusi jaringan penyamaan Hein Htet Aung sebelum A.Selvan meledak jaringan kemenangan di separuh masa kedua.