HomeSukanTidak Ada Pertuduhan, Tiba-Tiba Perlis FA Digantung

Tidak Ada Pertuduhan, Tiba-Tiba Perlis FA Digantung

Perlis FA digantung sebagai ahli gabungan FAM tanpa ada pertuduhan atau prosiding, malah tidak dimaklumkan secara rasmi oleh badan induk itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Perlis, Zamri Ibrahim berkata pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi tentang penggantungan mereka sebagai ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) oleh badan induk itu.

Beliau juga menyatakan keputusan itu tiba-tiba dibuat FAM tanpa Perlis FA dikenakan pertuduhan atau prosiding mengenai kes tunggakan gaji bekas Pengarah Bolasepak persatuan itu, Matt Holland yang membawa kepada penggantungan itu.

“Kita pun tidak tahu apa keputusan kerana ia tidak pernah sampai kepada kita. Malah sebelum ini ada wujud sebuah jawatankuasa ini tetapi saya tidak ingat, yang berkehendakkan maklumat isu Matt Holland tetapi tidak ada apa-apa pertuduhan atau prosiding dikenakan terhadap kita mengenai dengan tuduhan ini (kegagalan dalam pembayaran gaji tertunggak serta pampasan), memang tiada.

“Tiba-tiba saya terdengar bahawa Perlis FA digantung,” kata Zamri dilaporkan oleh BH Sukan.

Holland Bukan Kami Yang Lantik

Zamri turut menjelaskan bahawa pelantikan Holland dibuat kepimpinan terdahulu, bukannya jawatankuasa yang ada sekarang.

“Beliau (Holland) ini adalah zaman sebelum saya lagi (menjadi Presiden PFA) sekitar 2019, ini adalah dahulu punya pentadbiran dan bukannya saya,” ujarnya.

Sebagai rekod, Holland yang berpengalaman luas, dibawa masuk sebagai Pengarah Bolasepak Perlis FA oleh bekas presiden, Allahyarham Datuk Ahmad Amizal Shaifit pada 2019.

Holland nama yang tidak asing bagi peminat bolasepak, pernah bermain di Eropah, Amerika Syarikat, India, Australia dan Thailand.

PFA Kena Bayar Hampir RM1 Juta, FAM Turut Kena Denda

FAM menerusi keputusan yang dicapai Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pada Rabu, menggantung Perlis FA atas kegagalan mereka mematuhi arahan dikeluarkan FIFA untuk membayar gaji tertunggak dan pampasan kontrak dituntut Matt Holland.

Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM, Saaran Nadarajah memberitahu, PFA diarahkan FIFA untuk membayar sebanyak RM998,658 kepada Holland dan denda sebanyak CHF15,000 (kira-kira RM75,000).

FAM yang dinamakan sebagai responden kedua (kerana gagal memastikan PFA mematuhi keputusan FIFA) dikenakan denda sebanyak CHF5,000 (kira-kira RM25,000).

Baca juga: Kisah Hamidin Dari Penyokong Biasa ke Kerusi Presiden FAM

“Sekiranya tiada pembayaran dibuat PFA, tindakan boleh diambil oleh FIFA terhadap FAM sebagai responden kedua, antaranya sekatan terhadap peruntukan kewangan sebanyak 20 peratus daripada Program FIFA Forward (iaitu geran pembangunan daripada FIFA) sehingga selesai bayaran itu.

“Justeru, keputusan menggantung PFA ini dibuat berdasarkan Artikel 17 Statut FAM yang dengan jelas menyatakan bahawa Jawatankuasa Eksekutif FAM boleh menggantung ahli terbabit apabila ahli secara serius melanggar obligasi sebagai ahli dan dalam kes ini PFA secara serius melanggar arahan atau keputusan daripada FIFA.

“Penggantungan ini dibuat bagi mengelak FAM dikenakan tindakan lanjut oleh FIFA termasuk FAM perlu membayar semua bayaran yang harus dibayar oleh PFA dan sehingga boleh menyebabkan FAM dipertanggungjawabkan untuk kesemua hutang berkenaan,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!