Selangor kehilangan khidmat pemain tonggak utama Syed Aizad Daniel Syed Nasir bagi musim baru saingan Malaysian Premier Futsal League (MPFL).
Pemain itu telah membuat kenyataan tidak lagi akan bersama Red Giants bagi musim baru.
“Setelah 6 tahun bersama Selangor futsal, dengan hati yang berat membuat keputusan, saya tidak lagi menyambung perjalanan saya bersama Selangor untuk musim depan.
“Saya mengambil peluang ini untuk ucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan Selangor yang bersama saya menjalani haru biru sebagai pemain futsal, yang sama-sama berjuang sehingga ke hari ini.
“Terima kasih banyak-banyak terutama kepada aunty Mimi Afzan (pengurus) yang percayakan kebolehan saya, coach yang tidak pernah putus asa menjadikan saya pemain futsal. Tidak lupa kepada penyokong yang menyokong saya selama ini.
“Segala kekurangan dan kesilapan, saya mohon maaf. Semoga ini bukan penghujung perjuangan kita,” kata Syed Aizad.
Meskipun tidak memberitahu ke mana halatuju seterusnya namun penggiat futsal tanah air boleh menduga Syed Aizad bakal menjadi rekrut baru gergasi futsal tanah air, Johor Darul Takzim (JDT).
Dia sudah lama berada dalam pemerhatian pasukan selatan tanah air itu, lebih-lebih lagi 2024 telah menjadi musim kebangkitan sebenar pemain ini yang berjaya mengembalikan prestasinya ke tahap terbaik.
Syed Aizad bukanlah nama asing dalam arena futsal tanah air, selain dianggap nadi penting Selangor, dia juga merupakan tonggak skuad kebangsaan.
Setelah cemerlang memacu Selangor menjulang MPFL 2019, Syed Aizad ‘hilang’ seketika ekoran perpindahan tidak menjadi ke Pahang Rangers. Namun dia membuat comeback dan membantu Selangor meraih kejuaraan berganda 2022.
2024 Tahun Gemilang Futsal JDT
Tahun 2024 telah menjadi tahun gemilang buat skuad futsal Johor Darul Takzim (JDT) yang bergelar juara berganda Malaysian Premier Futsal League (MPFL) dan Malaysia Futsal Cup.
Menariknya, kejayaan ini hadir dalam masa hanya dua musim pasukan itu ditubuhkan. Pada 2023, iaitu musim pertama beraksi, Harimau Selatan sekadar muncul naib juara berganda – kedua-duanya dikecewakan Pahang Rangers.
Baca juga: Pahang Rangers Hilang Khidmat 4 Pemain Tonggak
Belajar daripada kegagalan, mereka membina skuad mantap yang sukar disaingi, malahan pada 2024 tewas hanya sekali di tangan Selangor FC.
Justeru seandainya dapat membawa masuk Syed Aizad Daniel, ia pastinya akan menjadikan skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia itu lebih sempurna, lebih padu.