Arif Aiman dan Tommy Mawat Bada yang terlibat dalam insiden pergaduhan ketika Perak menentang JDT pada Ahad, sepatutnya dilayangkan kad merah.
Itu pandangan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sepertimana dilaporkan oleh BH Sukan.
Dalam perlawanan berkenaan, pengadil Razlan Jofri Ali didapati membuat beberapa keputusan tidak tegas dan tidak mencerminkan dirinya sebagai pengadil terbaik dalam negara, termasuklah insiden pergaduhan berkenaan.
Ia bermula dengan Tommy Mawat didapati menarik baju Arif Aiman, menyebabkan Arif tidak dapat mengawal kemarahan lalu menumbuk Tommy, dan tercetus pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan.
Baca juga : Natxo Insa dan Sejarah Call-Up Bersama Harimau Malaya
Razlan bagaimanapun hanya melayangkan kad kuning kepada Tommy Mawat dan Arif Aiman, sedangkan kesalahan menumbuk pemain lawan merupakan kesalahan kad merah sepertimana termaktub dalam Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa.
“Pengadil sepatutnya melayangkan kad merah kepada kedua-dua pemain kerana bergaduh,” ujar Tunku Ismail.
Selain insiden berkenaan, Razlan turut dikritik hebat penyokong kerana tidak memberikan penalti kepada Perak selepas Clayton Silveira dikasari Feroz Baharudin pada minit ke-37 walaupun telah merujuk VAR, tetapi dia memberikan penalti mudah kepada JDT di hujung babak pertama selepas Bergson da Silva dijatuhkan.
“Situasi Feroz itu lebih kepada perebutan bola 50-50, boleh jadi penalti, boleh jadi tidak, saya tak tahu. Tetapi kalau saya pengadil, saya bagi sahaja penalti kepada Perak. Kita terima apa sahaja keputusan (dalam situasi itu),” tambah TMJ lagi.
Kemenangan 5-0 ke atas Perak meletakkan JDT kini selesa menerajui carta Liga Super dengan 40 mata, 11 mata mengatasi Selangor di tangga kedua.