HomeRencanaUPNM Dicadangkan Agar Digantung Susulan Kes Buli Menjadi-Jadi

UPNM Dicadangkan Agar Digantung Susulan Kes Buli Menjadi-Jadi

Operasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dicadangkan supaya digantung susulan kes buli yang menjadi-jadi. 

Dalam tempoh tidak sampai sebulan, dua kes buli dilaporkan dengan yang terbaru seorang pelajar senior (kadet tahun tiga) di akademi tentera telah memijak seorang junior, menyebabkan tulang rusuk dan tulang belakangnya retak.

Kejadian dipercayai berlaku pada 21 Oktober namun polis hanya menerima laporan pada 8 November. 

Manakala pada 22 Oktober lalu seorang pelajar tahun dua berusia 20 tahun melecur di dada selepas ditekap seterika oleh pelajar senior berusia 22 tahun. 

Baca juga: Kenali Tengku Eddie Akasya, Anakanda Tengku Muda Pahang

Ini menjadikan UPNM kini dilabel universiti yang tidak selamat untuk anak-anak dihantar melanjutkan pelajaran, apatah lagi kes berprofil tinggi UPNM membabitkan kematian kadet tentera laut Zulfarhan Osman Zulkarnain selepas melecur pada 80 peratus badannya akibat diseksa dengan seterika wap pada 2017 juga masih segar dalam ingatan. 

Ahli akademik Tajuddin Mohd Rasdi ketika mencadangkan supaya UPNM digantung operasi, berkata beliau terkejut dan malu melihat kejadian buli di universiti itu seperti tiada berpenghujung.    

“Hanya Tuhan yang tahu berapa banyak lagi kes yang tidak dilaporkan tetapi kes ini sepatutnya menjadi yang terakhir. 

“Sebagai bapa, ahli akademik dan rakyat Malaysia, saya berasa marah, sakit hati dan putus asa. Ibu bapa menghantar anak mereka ke universiti untuk belajar, bukan untuk mati. Kita ingin melihat anak-anak dalam jubah graduasi pengajian, bukan kain kafan pengebumian.

“Jika saya menteri, saya akan menggantung keseluruhan universiti dan memindahkan pelajar, ahli akademik dan kakitangan ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang lain,” kata profesor senibina itu.

Jangan Ada Satu Lagi Kes Zulfarhan

Sambil menyatakan bahawa kes di UPNM menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam institusi itu, Tajuddin mempersoalkan sama ada ia berpunca daripada kepercayaan, budaya dan persepsi “lasak” dalam diri pelajar dan pentadbirnya.

“Tetapi tiada alasan untuk anak-anak kita mati, hilang upaya atau cacat. Semoga Allah melindungi kita daripada satu lagi kejadian Zulfarhan, yang bukan sahaja meragut satu nyawa malah memusnahkan kehidupan pelakunya.

“Pelaku yang mungkin terdorong atau digalakkan oleh tradisi ketenteraan yang boleh dipersoalkan dari pemikiran pahlawan. Di sinilah kita harus meletakkan batas,” tambahnya.

Tajuddin memberitahu, beliau sentiasa menggalakkan pelajar melihat melangkaui sempadan kaum, agama dan budaya untuk mengembangkan pandangan dunia mereka.

“Saya menggesa mereka untuk membuka mata untuk menjalani kehidupan dan masa depan yang lebih bermakna,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!