HomeSukanVicente Pelik, Anggap FAM Tidak Cakna Masa dan Situasi

Vicente Pelik, Anggap FAM Tidak Cakna Masa dan Situasi

Pengendali interim skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente mengakui tidak faham dan pelik dengan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat pengumuman mengenai pelantikan jurulatih baru, pada ketika skuad negara sedang berjuang di Piala ASEAN.

Walaupun Vicente sendiri telah memaklumkan akan berundur sebaik tugasan di Piala ASEAN ini tamat, namun dia tetap merasakan pengumuman Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih baru sebagai tidak kena pada masa dan tidak membawa sebarang faedah.

Namun, dia berjanji tidak akan membiarkan ia menganggu fokus serta komitmen dirinya serta barisan kejurulatihan untuk cuba mendapatkan keputusan terbaik tatkala peluang ke separuh akhir masih lagi terbuka.

Berita Berkaitan: Peter Cklamovski Jurulatih Baru Harimau Malaya

“Saya rasa sejak awal (kejohanan) lagi segala yang berlaku sedikit pelik. Saya sendiri tidak tahu kenapa, saya tidak tahu apa manfaat kepada semua orang dengan mengumumkan jurulatih baru ketika kami masih berjuang di sini.

“Namun, perkara itu di luar kawalan kami, kami tidak boleh mengubah apa-apa. Apa yang boleh kami lakukan adalah fokus pada sesi latihan agar dapat memberikan yang terbaik dalam aksi terakhir menentang Singapura,” ujarnya ketika sidang media pra-perlawanan Malaysia-Singapura di Stadium Nasional.

FAM pada Isnin lalu mengumumkan jurulatih dari Australia, Peter Cklamovski dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya dan akan memulakan tugasnya pada 1 Januari 2025.

Cklamovski merupakan bekas pengendali FC Tokyo yang turut pernah bekerja selama lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika mereka bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!