Wan Rohaimi Wan Ismail, bekas pemain kebangsaan yang juga jurulatih semakin meningkat naik, difahamkan telah mencapai persetujuan bersama Penang FC untuk membimbing pasukan itu, menggantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Penang FC merehatkan Akmal Rizal pada Oktober lalu susulan beberapa keputusan hambar namun tetap mengekalkan khidmatnya dengan memberikan peranan mengendalikan pasukan lain di bawah payung kelab itu.
Mengenang Karier Gemilang Wan Rohaimi
Wan Rohaimi memperkenalkan dirinya ke kancah bolasepak tempatan pada 1996 di usia 20 tahun apabila diserap ke skuad Liga Premier Kelantan.
Beliau pada tahun sebelumnya cemerlang membantu skuad Piala Presiden Kelantan muncul juara dengan menewaskan Kuala Lumpur.
Selepas beberapa musim bermain di negeri kelahiran, Wan Rohaimi berhijrah ke Pahang pada 1999.
Di Darul Makmur, dia membina nama sebagai salah seorang peledak gol berbisa dan muncul antara penjaring terbanyak liga musim tersebut.
Baca juga: Mengenang Peraturan Gol Emas Dalam Bolasepak
Dia membantu Tok Gajah menjulang Liga Perdana Satu dan melengkapkan musim gemilang dengan dipanggil membarisi skuad kebangsaan oleh Abdul Rahman Ibrahim.
Debutnya adalah ketika menentang Arsenal pada tanggal 19 Julai.

Wan Rohaimi kemudian menyertai Terengganu pada 2001 dan membantu sang penyu menjuarai Piala Malaysia – beliau memenangi penalti yang disempurnakan Rosdi Talib pada aksi final menentang Perak.
Seterusnya dia pernah menyarung jersi Pulau Pinang, Selangor Public Bank, Selangor dan Johor FC selama empat musim, sebelum kembali ke Kelantan dan menjadi sebahagian daripada skuad TRW yang muncul juara Liga Super buat pertama kali pada 2011.
Wan Rohaimi pemain versatile
Bersama skuad negara, tiada data tepat berapa penampilan dicatatkannya, namun beliau pernah mewakili Malaysia di Sukan SEA 1999 dan Piala Tiger 2004, serta beberapa perlawanan kelayakan Piala Dunia.
Pemain kelahiran Kota Bharu ini juga dikagumi kerana versatilitinya, menjadikannya senang untuk bekerjasama dengan mana-mana jurulatih baik di peringkat kelab mahupun skuad kebangsaan.
Dia pemain serba boleh yang mudah adapt di pelbagai posisi bukan hanya posisi penyerang semata-mata, tetapi turut merajai posisi tengah dan pertahanan.
Wan Rohaimi pernah mengatakan walaupun posisi kegemarannya adalah penyerang, adalah menjadi kelebihan sekiranya seseorang pemain itu dapat bermain di pelbagai posisi kerana tugas dan tanggungjawab adalah berbeza mengikut posisi.
Setelah bersara, Wan Rohaimi terjun ke bidang kejurulatihan.
Antara Jurulatih Terbaik Dilahirkan NFDP
Karier kejurulatihannya bermula dengan Tumpat FA, sebelum dia menyertai barisan kejurulatihan NFDP dari 2014 ke 2018, berperanan sebagai jurulatih skuad B-13 dan B-15 negara (Sekolah Sukan Bukit Jalil).
Sempat berguru bersama Lim Teong Kim dan turut berada di dalam staff kejurulatihan ketika membimbing skuad B-16 kebangsaan beraksi di Kejuaraan AFC B-16 pada 2017, Wan Rohaimi boleh dikatakan salah seorang jurulatih terbaik pernah dilahirkan NFDP.

Selain beberapa kejayaan di pentas Liga KPM, beliau turut mengecap kejayaan di pentas antarabangsa, dalam saingan Ibercup Costa del Sol di Sepanyol pada 2015, kejohanan peringkat umur berprestij dunia.
Sebaik meninggalkan NFDP untuk mencuba cabaran baru, Wan Rohaimi dilantik sebagai jurulatih skuad B-19 Perlis, namun pasukan itu kemudian dibatalkan penyertaan gara-gara masalah kewangan.
Baca juga: Natxo Insa dan Sejarah Call-up Skuad Kebangsaan
Seterusnya beliau bersama skuad Piala Presiden Penang, namun tidak sempat membuktikan apa-apa kerana wabak Covid-19.
Cabaran sebenar baginya hanya bermula apabila membimbing skuad Liga Super buat pertama kali setelah dilantik ketua jurulatih PDRM FC pada 2021-2022.
Berjaya melonjakkan prestasi PDRM FC, beliau kemudian berkelana lagi, dan dilantik sebagai jurulatih skuad KL City dalam saingan Piala MFL, sebelum ‘dinaikkan pangkat’ sebagai penolong jurulatih skuad Liga Super bagi musim 2024/25.
Pastinya menarik untuk menyaksikan pembaharuan bakal dibawanya ke Penang FC nanti.