Shuib tidak pernah langsung menyentuh duit caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pekerja demi kegunaan peribadi.
Justeru, apabila pelawak popular itu dituduh menunaikan umrah dengan duit tersebut, isterinya Watie Hanafiah tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa.
Malah Watie menegaskan Shuib atau nama sebenarnya Shamira Muhamad berhati mulia tidak mengambil gaji selama bertahun-tahun demi memastikan hak pekerja terjamin, dan sedih dengan fitnah yang bertebaran.
“Setiap bulan, suami (Shuib) akan ‘top up’ duit poket sendiri untuk bayar gaji pekerja. Pihak pengurusan dulu bermasalah, tetapi penghujungnya, suami difitnah.
“Semoga suamiku diberikan ketabahan, inshaAllah, dia tahu halal haram,” ujarnya di instastory.
Tambah Watie lagi, “Ujian hebat untuk orang yang hebat, jadi suami saya hebatlah kan? Sekian coretan mummy untuk kali ini.”
Fakta Kes Shuib, Bubblebee dan Caruman PERKESO
Shuib bersama pengarah syarikat Bubblebee Sdn Bhd iaitu Kho Choon Guan didenda sebanyak RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada Isnin lalu.
Masing-masing mengaku bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman PERKESO pekerja syarikat itu tahun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara selama dua bulan sekiranya Shuib dan Choon Guan gagal membayar denda.
Baca juga: Eda Ezrin Jadi Sasaran Cemburu Sejak Viral Lagu Bey Soba Bey
Mereka bagaimanapun dibenarkan membayar secara ansuran sebanyak enam kali bagi tunggakan caruman PERKESO.
Mengikut pertuduhan, Bubblebee sebagai majikan utama didakwa atas tiga pertuduhan kerana gagal membayar caruman PERKESO seorang pekerja lelaki berusia 25 tahun bagi bulan Oktober hingga Disember 2023 berjumlah keseluruhan RM97.80.
Tidak hanya itu syarikat berkenaan turut didakwa dengan tiga pertuduhan lain iaitu gagal membayar caruman keseluruhan sebanyak RM17.40 bagi pekerja sama dan tempoh sama sepertimana termaktub dalam Peraturan-Peraturan Sistem Insurans Pekerjaan.
Bubblebee Gagal Patuhi Saman
Dalam pada itu, bagi pertuduhan ketujuh, Bubblebee didakwa gagal mematuhi saman di bawah Seksyen 110 (1) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang seterusnya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 110 (2) akta sama.
Bagi pertuduhan pertama hingga keenam, Shuib dan Choo Guan didenda keseluruhan sebanyak RM15,000 manakala RM2,500 bagi pertuduhan ketujuh.
Shuib dan Choo Guan tidak diwakili peguam manakala pendakwaan pula dikendalikan Pegawai Pendakwa PERKESO Selangor, Nurul Atikah Che Sharif.