“Bangsa Johor kenal siapa TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim)”, demikian ditekankan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dalam usaha membersihkan persepsi orang ramai terhadap Pemangku Sultan Johor itu yang sejak kebelakangan ini menjadi sasaran kritikan susulan isu tujuh pemain warisan palsu.
Menurut Onn Hafiz, ramai melihat Tunku Ismail hanya melalui ketegasan dalam mempertahankan standard bola sepak. Tetapi jika dilihat secara lebih menyeluruh, visi TMJ terhadap Johor sebenarnya melangkaui sukan semata-mata, ia meliputi pendidikan, pembangunan belia, ekonomi yang lebih kukuh serta kesejahteraan rakyat.
Onn Hafiz berkata beliau menyaksikan sendiri bagaimana banyak perkara yang digerakkan oleh TMJ lahir daripada satu keinginan yang jelas iaitu melihat Johor menjadi negeri yang lebih maju, berdaya saing dan rakyatnya hidup dengan lebih baik tetapi ia sisi yang jarang diperkatakan.
“TMJ sentiasa meletakkan tanda aras yang tinggi untuk JDT. Penanda aras yang sama diletakkan terhadap kepimpinan negeri, termasuk saya sendiri, barisan EXCO serta kepimpinan Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS).
“Tuanku sering mengingatkan bahawa amanah memimpin negeri ini bukan sekadar soal jawatan, tetapi tanggungjawab untuk bekerja lebih keras, berfikir lebih jauh dan memastikan setiap dasar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Dalam bidang pendidikan, Tuanku sering menekankan bahawa masa depan Johor mesti dibina melalui pendidikan yang berkualiti untuk generasi muda. Sebab itu lahirnya idea seperti Sekolah Rintis Bangsa Johor, bagi membina generasi anak Johor yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga memiliki kepimpinan dan keyakinan untuk bersaing di peringkat global.
“Begitu juga dengan pembangunan belia melalui Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) serta gerakan Southern Volunteers, yang menghimpunkan ribuan anak muda Johor untuk turun membantu masyarakat ketika bencana dan situasi kecemasan. Inisiatif ini membentuk generasi muda yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga mempunyai semangat khidmat kepada masyarakat.
“TMJ juga sering menekankan bahawa kemajuan ekonomi negeri mesti memberi manfaat sebenar kepada rakyat. Sebab itu Tuanku sentiasa menekankan kepentingan membawa masuk pelaburan berkualiti yang mampu menyediakan pekerjaan dengan gaji premium kepada anak muda Johor, selaras dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
“Hasil usaha bersama pelbagai pihak, Johor juga telah mencapai satu pencapaian penting apabila berjaya menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini. Pada masa yang sama, lebih 20,000 unit rumah mampu milik telah siap dibina dan didiami oleh rakyat Johor, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai keluarga memiliki kediaman sendiri.
“Ramai juga mungkin tidak mengetahui bahawa idea kepada Infaq Jumaat Johor, yang kini memberi manfaat kepada ratusan ribu rakyat setiap minggu, turut diinspirasikan oleh keprihatinan Tuanku terhadap golongan yang memerlukan,” menurut Onn Hafiz.
Tambahnya, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam mana-mana masyarakat yang matang. Namun janganlah kerana satu perkara kita membiarkan diri kita berpecah. Johor berada pada tahap hari ini kerana kita bergerak bersama sebagai satu Bangsa Johor.
Bagaimanapun, menjengah di ruangan komen, karangan panjang ditulis Onn Hafiz, seolah tidak ada keperluan, kerana penyokong bolasepak hanya bertanya “siapa dalang pemalsuan dokumen pemain warisan.”
“MB tulis karangan panjang pasal visi, belia, rumah mampu milik semua… Rakyat cuma tanya satu benda je: 7 pemain naturalisasi yang kantoi dokumen palsu tu macam mana? Benda lain semua ok, tapi isu bola yang tengah hangat tu yang orang nak jawapan. Bukan esei Bangsa Johor,” menurut pemilik akaun @DillSnelling.
Ini pula komen @BolaSepakVibes : “Dah kenapa tetiba buat karangan 5 perenggan ni,rakyat nak tahu siapa yg palsukan document je.”
Komen daripada @thugtahulo : “Benda baik rakyat support je baik pembangunan ekonomi, bantuan dan lain-lain. pasal 7 player ni ha yang peminat tak puas hati, siapa yang patut bertanggungjawab?”
Manakala komen daripada @AshrafH__ : “Tak kisah la semua bende ni. Yg org kisah skrg mcmana 7 player tu boleh main malaysia? Bende baik yg dia buat tak da sapa sangkal. Org sembang pasal penipuan dokumentasi. Bende baik yg Tunku buat kita semua support.”



