Susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung tujuh pemain warisan, Malaysia Football League (MFL) tampil memberi penjelasan dengan menegaskan bahawa urusan dokumentasi pemain dan status kerakyatan adalah di luar bidang kuasa mereka.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, peranan organisasi itu terhad kepada mengendalikan pertandingan domestik serta melaksanakan regulasi yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Seperti yang kami nyatakan dari awal, perkara melibatkan dokumentasi pemain bukan di bawah kuasa MFL. Kami hanyalah penganjur liga semata-mata.
“Kami mengikut prosedur yang ditetapkan oleh FAM selaku badan induk. Sebarang pengawasan kawal selia mesti datang daripada mereka, manakala MFL bertindak berdasarkan dokumentasi dan keperluan yang dibekalkan,” kata Ghani.
Ghani turut menegaskan bahawa soal pemberian kerakyatan adalah hak mutlak kerajaan.
“Saya tidak boleh mengulas mengenai perkara yang bersifat andaian. Pemberian kerakyatan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri, jadi saya tidak berhak komen tentang itu.
“Jika status mereka ditarik balik oleh kerajaan, maka secara automatiknya mereka bukan lagi warganegara,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, setakat ini tiada perbincangan dibuat bersama kelab-kelab Liga Super mengenai isu tersebut.
“Tiada perbincangan dengan pihak kelab setakat ini. Mereka semua faham akan status semasa pemain-pemain ini,” katanya.
Ghani memaklumkan bahawa pihak liga akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebaik sahaja jawatankuasa tatatertib Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membentangkan hasil penemuan mereka.
“Jika FIFA telah menggantung pemain-pemain ini daripada perlawanan rasmi, maka mereka tidak boleh beraksi di mana-mana sahaja, termasuk dalam saingan domestik,” jelas beliau lagi.
“MFL telah pun menghantar surat kepada kelab terlibat untuk memaklumkan bahawa pemain-pemain ini tidak boleh diturunkan dalam Liga Malaysia. Arahan ini juga telah diedarkan kepada semua kelab.”



