Home"Ya, Gol Maguire Ofsaid dan Patut Dibatalkan" - Amorim

“Ya, Gol Maguire Ofsaid dan Patut Dibatalkan” – Amorim

Ruben Amorim tanpa berselindung mengakui bahawa gol kemenangan Manchester United ke atas Leicester City dalam saingan Piala FA sepatutnya dibatalkan kerana ofsaid.

United mencatat kemenangan 2-1 dalam perlawanan di Old Trafford itu, menerusi jaringan penuh kontroversi Harry Maguire pada masa kecederaan.

Tandukan Maguire pada minit ke-93 hasil hantaran sepakan percuma Bruno Fernandes menerjah jaring, namun ulang tayang menunjukkan dia berada dalam kedudukan ofsaid ketika bola dihantar.

“Gol itu ofsaid. Sepatutnya ada Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk membatalkan keputusan itu – ia sukar untuk pihak lawan, sukar untuk Ruud (van Nistelrooy),” kata Amorim menunjukkan simpati kepada Leicester yang memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan.

Ketiadaan VAR di pusingan ini menyebabkan keputusan tidak dapat diubah dan Leicester terpaksa akur dengan kekalahan di Old Trafford.

Keputusan itu menimbulkan kemarahan penyokong The Foxes yang merasakan mereka dinafikan peluang untuk sekurang-kurangnya membawa perlawanan ke masa tambahan.

Bagi Amorim, kemenangan ini amat penting buat United, namun dia tetap merasakan Red Devils tidak menunjukkan satu prestasi yang wajar dibanggakan.

“Ia keputusan yang baik buat kami, tetapi bukan persembahan yang baik. Kami perlu perbaiki beberapa aspek jika mahu terus melangkah jauh dalam kejohanan ini,” katanya.

Leicester mendahului di separuh masa pertama, menerusi Bobby De Cordova Reid, tetapi United bangkit di separuh masa kedua menerusi jaringan penyamaan Joshua Zirkzee, sebelum gol Maguire meranapkan impian mereka mencipta kejutan.

Insiden ini sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai perlunya VAR di semua peringkat saingan Piala FA, sesuatu yang mungkin akan dipertimbangkan oleh Persatuan Bolasepak England (FA) selepas ini. – AGENSI

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!