Irfan Bakti berkeyakinan tinggi dapat mengembalikan semula kegemilangan bolasepak Kelantan, meskipun sedar ada cakap-cakap yang mempersenda hasrat beliau itu.
Pengendali veteran itu menerima setiap pandangan yang dilontarkan dan menganggap ia sebagai hak masing-masing, namun menyatakan setiap pendapat sinis itu mungkin daripada mereka yang fobia dan takut dengan aura bolasepak Kelantan.
“Bagi saya pandangan-pandangan itu barangkali dari mereka yang fobia. Saya tak pernah melatih pasukan Kelantan dan kalau tak yakin, saya tak balik ke sini,” katanya kepada wartawan.
Beliau ditemui ketika Majlis Perasmian Jelajah Kelantan Red Warrior – The Next Hero di Padang Sintetik, Kota Bharu.
Untuk makluman, Kelantan pada sekitar 2009 – 2013 digelar gergasi bolasepak tanah air, berikutan kejayaan mendominasi saingan bolasepak domestik dan melengkapkan kejuaraan treble bersejarah pada 2012.
Baca Juga: Treble 2012, Bukan Sekadar Satu Kebanggaan Tetapi Momen Unik Untuk Rakyat Kelantan
Kejuaraan terakhir yang mereka menangi adalah pada 2013, iaitu Piala FA dengan menewaskan JDT 1-0 dalam aksi final.
Selepas itu, pencapaian terbaik Kelantan atau sinonim dengan gelaran The Red Warriors (TRW) adalah muncul naib juara Piala FA pada 2015, tewas kepada Lions XII.
2023 menyaksikan pencapaian terburuk dalam sejarah pasukan itu ditubuhkan, apabila bukan sahaja menamatkan saingan Liga Super di kedudukan tercorot, tetapi menjadi pasukan belasahan dengan melepaskan lebih dari 120 gol hanya dalam 26 perlawanan.
TRW berkubur pada 2024 setelah tidak mendapat lesen untuk bermain di Liga Super, dan gagal untuk menghantar pasukan bertanding di Liga A1 Semi-Pro. Sehingga kini pemain dan jurulatih masih lagi menanti tunggakan gaji dilangsaikan.
Keengganan pemilik Norizam Tukiman melepaskan kelab meskipun sudah didesak berulang kali menyebabkan beberapa pemegang saham menubuhkan Gerakan Selamatkan Kelantan, maka dari situ tertubuhlah KRWFC.
Bagaimanapun dengan status sebagai kelab baru, belum ada kepastian di liga mana KRWFC akan beraksi walaupun mereka hampir pasti akan bermain di Liga A1 Semi-Pro.
Bercakap mengenai pemilihan pemain Irfan Bakti menegaskan: “Ketika ini, saya mencari pemain berkualiti, mereka akan dinilai dari segi bakat dan kesungguhan selain mampu bermain secara berpasukan.
“Pemain perlu bagus dari segi fizikal, ‘cerdik’ dan tidak ‘kedekut’ bola ketika beraksi. Jadi jangan malu-malu, tunjukkan kemahiran yang ada.
“Saya akan pilih 24 hingga 26 pemain untuk KRW FC yang bukan sahaja boleh menjaringkan gol, tetapi juga bukan ‘penumpang’ dalam pasukan.”