HomeSukanYusoff Minta Lupakan Sahaja Kata-Kata Cklamovski

Yusoff Minta Lupakan Sahaja Kata-Kata Cklamovski

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nampaknya tiada masalah dengan tindakan biadap Peter Cklamovski memalukan mereka secara terbuka kepada media antarabangsa.

Cklamovski pada Khamis, dengan lantang menyelar FAM yang juga majikannya apabila mengatakan badan induk itu sebagai bersalah dan bertanggungjawab sepenuhnya atas situasi haru-biru bolasepak Malaysia ketika ini.

Menurutnya ia kesilapan FAM yang menyebabkan Harimau Malaya kehilangan sentuhan tujuh pemain warisan yang digantung FIFA atas dakwaan pemalsuan identiti, dan berpendapat tidak wajar kesalahan itu diletakkan ke atas Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketika ramai berpendapat kenyataan Cklamovski agak keterlaluan dan tidak wajar malah perlu dikenakan hukuman dengan mengambil contoh beberapa kes terdahulu, lain pula pendirian FAM kali ini.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata mereka tidak berminat untuk memanjangkan kata-kata pedas dan menusuk daripada Cklamovski demi kepentingan skuad kebangsaan.

“Kita lupakan apa kenyataannya tentang FAM. Buat masa sekarang (adalah) lebih baik Peter fokus kepada perlawanan timbal balik, saya percaya penyokong akan ramai membanjiri SNBJ atas kemenangan 3-0.

“Tentu sekali penyokong ingin melihat persembahan yang lebih baik di Bukit Jalil dengan set baru ini. Kalau boleh kita dapat keputusan yang lebih dari di Laos,” katanya dilaporkan Astro Arena.

Sebagai rekod, bekas jurulatih kebangsaan, mendiang B.Sathianathan pernah dipecat hanya kerana mengatakan ‘Liga Malaysia bukan bolasepak’ selepas Malaysia tewas 0-5 kepada UAE dalam kelayakan Piala Dunia pada 2009.

Manakala pada 2012, Tan Sri Annuar Musa yang merupakan Timbalan Presiden FAM ketika itu digantung setelah mengeluarkan kenyataan negatif berhubung prestasi pasukan kebangsaan dan meragui kemampuan mereka mempertahankan Piala AFF Suzuki.

Malah sebelum itu, dua bekas naib presiden FAM, Allahyarham Raja Zainudin Omar dan Allahyarham Tan Sri Ahmad Basri Akil juga pernah digantung FAM kerana kelantangan mengkritik badan induk itu.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error:Content is protected !!