10 Filem Terburuk Karier Shahrukh Khan, King of Bollywood
Lebih 3 dekad bekecimpung dalam industri perfileman, Shahrukh Khan memegang status sebagai pelakon pujaan ramai dengan jutaan peminat di seluruh dunia.Â
King of Bolywood ini pernah menyajikan kita dengan filem-filem blockbuster antaranya Dilwale Dulhania Le Jayenge, Dil To Pagal Hai, Kuch Kuch Hota Hai, Kabhi Kushi Kabhi Gham, Om Shanti Om, Baadshah dan banyak lagi filem-filem hebat.
Maka tidak hairanlah ekspetasi ke atasnya setiap kali filem baru ditayangkan adalah cukup tinggi. Dalam aspek lakonan, Shahrukh Khan tidak pernah mengecewakan dan sentiasa tampil memberikan terbaik.
Namun, disebabkan kelemahan skrip, selain arahan, jalan cerita serta plot yang kurang berkualiti, lakonan mantapnya sekalipun tidak dapat menyelamatkan beberapa filemnya dilabel sebagai gagal, blockbuster disaster, commercial failure selain ada yang dianggap ‘not Shahrukh’s type of movie’.
Baca juga: Comali, Filem Yang Menjentik Emosi, Sarat Dengan Mesej dan Pengajaran
Daripada deretan filem tersebut, ini adalah antara 10 terburuk karier Shahrukh Khan (hanya filem selepas tahun 2000).
10) Paheli
Kisah Kishanlal (SRK) mengahwini Lachchi (Rani Mukherjee) tetapi keesokan harinya terpaksa meninggalkan isterinya selama lima tahun kerana urusan perniagaan di luar kawasan atas permintaan ayahnya. Bukan seminggu dua tau, tapi lima tahun. Tak beragak langsung, malam pertama pun tak sempat!
Kemudiannya ada hantu yang berkenan dengan Lachchi, jatuh cinta dengan dia, menggunakan kesempatan ini untuk menyamar sebagai Kishanlal dan menjalani kehidupan rumahtangga dengan Lachchi selama 4 tahun. Eh siap mengandung pulak Lachchi, mengandung anak hantu.
Sekembalinya Kishanlal, dia perlu membuktikan yang hidup bersama isteri dan keluarganya selama ini adalah penyamar (hantu). Pengakhiran cerita, Lachchi hidup bahagia bersama Kishanlal (original) dan Kishanlal (hantu) yang bersatu di dalam satu badan. Mengarut di tahap tertinggi.
9) Kabhi Alvida Naa Kehna
Kisah mengenai kegagalan perkahwinan Dev (Shahrukh Khan) dan Maya (Rani Mukherjee) bersama pasangan masing-masing Rhea (Preity Zinta) dan Rishi (Abhishek Bachan); yang seterusnya membawa mereka berdua kepada kecurangan dalam perkahwinan.
Filem yang agak slow pace, walaupun ia adalah kisah realiti kehidupan tetapi bukan jenis filem SRK, apatah lagi dia digambarkan sebagai seorang loser dan seorang yang putus harapan untuk hampir keseluruhan cerita, dan kemudiannya tidur pula dengan bini orang.
Hakikatnya, skrip yang lebih kemas ditulis untuk Abhishek Bachan. Walaupun secara komersialnya filem ini berjaya, ia dianggap watak yang tidak sepatutnya dimainkan oleh SRK di dalam karier lakonannya.
8) Hum Tumhare Hain Sanam
Mengambil kira ini naskhah yang menampilkan tiga nama besar dalam industri – Shahrukh Khan, Salman Khan dan Madhuri Dixit – ekspetasi besar diletakkan peminat ketika filem ini diumumkan.
Namun, ia akhirnya tampil sebagai filem melodramatik dengan jalan cerita yang klise dan skrip yang lemah. Filem biasa-biasa mengenai salah faham dalam hubungan suami isteri dan bagaimana konflik itu diselesaikan.
Filem seperti ini tidak memerlukan nama-nama besar pun untuk menjayakan wataknya tetapi hanya SRK wajar menerima pujian atas lakonan hebatnya sebagai seorang suami yang cemburu buta terhadap hubungan rapat antara isteri dan kawan baiknya.
Sama ada ketika babak serius, kelakar, sedih, atau beremosi, SRK menjiwai watak dengan cukup baik justeru tidak keterlaluan mengatakan dia yang menyelamatkan filem ini dari gagal teruk ini tatkala Madhuri dan Salman tidak menyerlahkan potensi mereka ke tahap terbaik.
7) Josh
Filem ini gagal seawal castingnya lagi, mana tidaknya melihat SRK dan Aishwarya Rai memainkan watak adik-beradik itu sendiri amatlah janggal.
Sedangkan Salman Khan yang merupakan pilihan utama pun menolak tawaran untuk membintangi filem ini apabila diberitahu dia kena menjadi abang kepada Aishwarya, apa sebenarnya yang ada dalam kepala pengarah?
Kemudian Chandrachur Singh, pelakon sampingan yang kurang ternama sebagai ‘love interest’ Aishwarya double janggal, dan Shahrukh Khan terlalu try-hard untuk memainkan watak sebagai gengster yang cool-looking dan abang yang protective adalah triple janggal.
Barisan pelakon pembantu pun tidak membawa watak dengan baik termasuk Chandrachur sendiri menyaksikan filem ini hanya mencatat kutipan sederhana di box office dan tidak banyak diperkatakan peminat filem.
6) Hey Ram
Hey Ram bukanlah filem yang gagal, tetapi ia satu lagi filem ‘not Shahrukh’s type’. Boleh dikatakan tiada siapapun peminat King Khan akan memperkatakan mengenai filem ini, filem biopik sejarah yang boleh dikatakan ‘rare’ dalam karier perfilemannya.
SRK dalam satu temuramah pernah mengatakan dia berlakon di dalam filem ini tanpa mengambil sebarang bayaran dan bersetuju untuk terlibat semata-mata kerana mahu bergandingan dengan idolanya Kamal Hassan yang memainkan watak utama.
Ini juga satu-satunya filem tamil lakonannya sehingga ke hari ini.
5) Jab Harry Met Sejal
Pemilihan skrip yang teruk dan pembawaan watak tidak seiring usia, itulah kritikan terhadap SRK dek lakonannya dalam filem ini.
Seperti biasa, SRK menjayakan wataknya dengan cemerlang, namun apa yang dikritik adalah kerana ia filem dengan adegan-adegan romantis, intim serta ada babak bercium yang jelas sekali bukan untuk SRK, yang berusia 52 tahun ketika filem ini diterbitkan.
Dia membawa watak sebagai pemandu pelancong yang gatal, yang membantu seorang gadis (kliennya) untuk mencari cincin pertunangan yang hilang (sebenarnya tidak hilang).
Jalan cerita, pengarahan dan lakon layar disifatkan sebagai teruk dan dilabel antara karya terburuk Imtiaz Ali.
4) Dilwale
Selain lagunya yang menjadi top hit pada waktu itu, semua berkenaan filem ini termasuk jalan ceritanya tampak amatur. Lakonan dan penuturan skrip semua pelakon, termasuk Shahrukh Khan dan Kajol sendiri nampak kayu dan filem ini seolah diarahkan oleh pengarah baru.
Bagi peminat SRK, mereka mungkin tidak nampak apa yang cacat mengenai filem ini, tetapi ia tampak seperti sebuah filem segera yang disiapkan sekadar cukup syarat sebagai meraikan genapnya 20 tahun gandingan SRK dan Kajol dalam DDLJ.
3) Shakti – The Power
Filem yang outstanding kerana lakonan hebat Karishma Kapoor dan Nana Patekar, mereka menjadi tunjang kepada filem ini mendapat sambutan dan dianggap commercial success tetapi kemasukan SRK di pertengahan cerita seolah menganggu kesempurnaan cerita.
Jika filem-filem dalam senarai sebelum ini dilabel teruk kerana skrip, pengarahan, jalan cerita atau not Shahrukh’s type movie, yang ini pula mungkin satu daripada beberapa yang menampilkan SRK dalam lakonan below expectation.
2) Zero
Tidak perlu penjelasan mengenai teruknya filem ini, sepertimana namanya, filem ini adalah ‘kosong’.
SRK memainkan watak si kerdil yang bercinta dengan seorang saintis NSAR yang menghidap celebral palsy. Satu lagi pemilihan skrip dan jalan cerita yang lemah disertai ending yang merapu dan melalut.
Di sebalik kelainan cuba dibawa SRK serta lakonan terbaik karier Katrina Kaif, ia digambarkan biggest flop dalam karier SRK sehingga menyebabkannya mengambil rehat panjang lebih dua tahun dek kritikan yang diterima.
1) Yeh Lamhe Judaai Ke
Filem yang mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan (1994 – 2004), dan untuk memikirkan SRK boleh terlibat di dalam projek amatur ini selepas mencipta nama adalah sesuatu yang sangat menghairankan.
Filem slow pace dengan jalan cerita yang cukup membosankan seolah menonton slot cerekarama di malam Sabtu, pengarah filem seolah terdesak mahu menerbitkan juga filem ini yang tergendala lama, hanya kerana mahu menumpang populariti SRK yang sedang mencanak selepas beberapa blockbuster berturutan seperti K3G, Devdas, Kal Ho Na No dan Main Hoon Na.
Pengkritik filem di India melabel kesemua pelakon seperti hilang arah dan tiada mood untuk berlakon dan sesetengah pelakon pula seperti dikutip menerusi audition tepi jalan. Penuturan skrip yang lemah, serta dubbing suara pula disifatkan sangat menyedihkan.