Sudah tiba masanya permata bolasepak tanah air, Arif Aiman, menyahut cabaran beraksi di liga luar negara berbanding hanya menunjukkan bisa di Liga Malaysia.
Justeru, jika benar ada tawaran menarik dari kelab-kelab besar, JDT diminta melepaskan pemain berusia 22 tahun itu kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan lagi kualiti permainan Arif Aiman, tetapi turut membawa manfaat kepada Harimau Malaya.
Demikian pendapat pemerhati bolasepak tanah air, Proesor Madya Dr Dzulakbal Abdul Karim yang juga Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia.
“Pada saya, ini peluang yang baik untuk Arif Aiman mengembangkan lagi bakat dia. Tidak dinafikan duduk di JDT bagus dengan sokongan pihak pengurusan dan rakan sepasukan serta kemudahan yang baik untuk prestasi dia.
“Namun, lebih bagus sekiranya dia boleh didedahkan lagi dengan cabaran besar yang betul-betul menguji kebolehannya terutama berdepan pihak lawan lebih berkualiti.
“Saya percaya Arif Aiman ada bakat luar biasa, kalau tidak, takkan orang ‘tergila-gila’ mengiktiraf bakat dia. Kalau betul dapat peluang (dari liga dan kelab terbaik), dia kena fikir jauh dan berjiwa besar menyahut cabaran bermain di luar negara.
“Ia juga akan membantu meningkatkan prestasi pasukan negara apabila dia dipanggil menyertai Harimau Malaya kelak. Kalau tanya saya, memang saya sangat setuju jika Arif Aiman mahu beraksi di luar negara demi bola sepak negara.
“JDT mempunyai matlamat besar dalam membantu bola sepak negara, jadi mereka harus berjiwa besar serta sedia mempertimbangkan untuk lepaskan Arif Aiman, tidak kisah sama ada secara pinjaman atau (perpindahan) secara tetap,” kata Dzulakbal seperti dilaporkan BH Sukan.
Untuk makluman, nama Arif Aiman hangat diperkatakan penyokong bolasepak tanah air sejak awal tahun baru apabila kelibatnya didakwa berada dalam radar naib juara ACL 2022 dari Iran, Persepolis.
Baca Juga: JDT Dikatakan Kena Scam Dalam Pembelian Obregon
Malah media tempatan melaporkan bahawa pemain berasal dari Pahang itu turut mencuri tumpuan penyokong kelab Liga Scotland, Rangers Journal. Namun bagi Dzulakbal, jika kedua-dua spekulasi itu benar, bermain di Iran adalah pilihan yang lebih baik.
“Pasukan Iran kerap beraksi dalam Piala Dunia dan mungkin Arif Aiman mendapat peluang beraksi dengan pemain yang pernah bermain di Piala Dunia. Malah, negara Asia lebih sesuai dari aspek budaya dan cuaca jika dibandingkan dengan Eropah.
“Seandainya perpindahan itu menjadi kenyataan, Arif juga perlu pastikan dia mendapat minit permainan yang banyak dan kalau boleh kena dapatkan tempat dalam kesebelasan utama. Sebab itu saya katakan dia perlu berjiwa besar,” katanya.