Kemenangan penuh dramatik Manchester United dalam saingan Piala FA ke atas Arsenal pada Ahad mungkin mempunyai impak besar untuk Manuel Ugarte.
Ketegangan memuncak susulan penalti yang diberikan kepada Arsenal selepas Harry Maguire didakwa menjatuhkan Kai Havertz oleh pengadil, ketika perlawanan terikat 1-1.
Ketika pemain kedua-dua pasukan bertikam lidah hingga mencetuskan kekecohan, Ugarte kelihatan menanduk dan mencekik pemain Jerman itu dalam situasi kacau-bilau itu.
Pengadil, Andy Madley, nampaknya terlepas pandang tindakan Ugarte, tatkala penggunaan VAR pula dikecualikan daripada pusingan ketiga dan keempat Piala FA. Justeru insiden itu mungkin akan diteliti lebih lanjut.
Jika Ugarte didapati melakukan kesalahan, dia berkemungkinan berdepan penggantungan tiga perlawanan.
Malang bagi Arsenal, penalti Martin Odegaard berjaya ditepis keluar oleh Altay Bayindir sebelum The Red Devils melengkapkan kemenangan menerusi penentuan penalti.
Kai Havertz pula dikecam penyokong sendiri berikutan gagal menyempurnakan dua pelaung keemasan di depan gol dengan menyepak bola ke langit, selain turut gagal menyudahkan penalti penting ketika penentuan.
“Sangat pelik apabila anda gagal memenangi perlawanan. Penguasaan, kelebihan pemain dan semuanya sudah dilakukan untuk memenanginya.
“Kami tidak mendapat apa yang sepatutnya, tetapi masalah utamanya ialah gagal menjaringkan gol. Sepatutnya kami menjaringkan lebih banyak gol dengan situasi, peluang, penalti yang ada, tetapi tidak dilakukan. Ia menyedihkan tetapi saya tetap bangga dengan pemain-pemain saya,” kata Mikel Arteta.