HomeSukanNizaruddin Harap Dana Kerajaan Diguna Dengan Amanah

Nizaruddin Harap Dana Kerajaan Diguna Dengan Amanah

Bekas penyerang skuad kebangsaan, Nizaruddin Yusoff berharap agar dana keseluruhan berjumlah RM30 juta diterima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) daripada kerajaan, digunakan dengan penuh amanah.

Menurutnya, jumlah itu mencukupi untuk memastikan pasukan utama Harimau Malaya tampil lebih kompetitif di pentas antarabangsa, dalam masa sama mahu program pembangunan diperkasakan.

Nizaruddin yang juga pemenang kasut emas Liga Super 2009, inisiatif itu adalah penting dalam usaha mengesan dan melahirkan lebih ramai pelapis bagi membarisi skuad B-23 negara yang sterusnya bertindak sebagai tulang belakang kepada skuad senior.

“Kita tahu bola sepak sukan utama di Malaysia dan dunia, apa-apa pergerakan memang perlukan sumber kewangan. Saya harap dana kerajaan (RM30 juta) itu dapat dilaksanakan dengan amanah dan digunakan berkaitan dengan persatuan bola sepak negara serta untuk mencari bakat baru yang lebih baik.

“Penyokong mahu melihat kemajuan skuad negara serta liga yang bertambah maju.” katanya dalam laporan Astro Arena.

12 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM15 juta yang diumumkan pada Belanjawan 2025 khusus untuk pembangunan sukan bolasepak, digandakan kepada RM30 juta dengan RM15 juta bakal dibiayai pihak swasta. 

Perdana Menteri berkata dana itu juga akan dimanfaatkan FAM dalam aspek pengurusan organisasi yang memerlukan perubahan menyeluruh dari setiap sudut bagi memastikan pemain kebangsaan mendapat sokongan berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik.

Dalam pada itu, pemerhati bolasepak tanah air, Sadek Mustafa pula berkata tiada lagi ruang buat FAM untuk memberi alasan di atas kemerosotan skuad Harimau Malaya.

Beliau menyifatkan ia satu pelaburan besar buat pasukan kebangsaan dan ia perlu dibalas dengan pulangan positif oleh FAM.

“Jumlah RM30 juta memang satu angka yang besar dan sudah tentu banyak persatuan sukan memandang FAM dengan rasa cemburu kerana mereka dianggap sebagai anak emas kerajaan.

“Jadi sekarang FAM perlu buktikan bahawa mereka mampu menguruskan peruntukan tersebut dengan memastikan Harimau Malaya dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

“Pada masa sama, kita tidak mahu mendengar lagi dolak-dalik daripada FAM jika prestasi Harimau Malaya terus merudum atau gagal mendapat perlawanan persahabatan kelas A.

“Bagi saya, peruntukan itu mampu menampung perlawanan kelas A selain digunakan untuk pembangunan akar umbi.

“Dan kena ingat, langkah merekrut pemain berdarah warisan gred A juga memerlukan kos,” katanya kepada Sukan Sinar.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!