HomeSukan"Tak Salah FAM Bantu Kelab Bangunkan Pemain Muda"

“Tak Salah FAM Bantu Kelab Bangunkan Pemain Muda”

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar bersetuju dengan kenyataan Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini bahawa pembangunan pemain muda adalah tanggungjawab kelab, bukannya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, kelab harus memperbanyakkan program pembangunan akar umbi termasuk mewujudkan akademi dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berbakat pada masa akan datang.

Tetapi dalam masa sama, Azlan menjelaskan kelab harus bekerjasama atau mendapatkan bantuan daripada FAM bagi menyediakan modul latihan selain melengkapkan jurulatih dengan program kejurulatihan terbaik.

“Pembangunan ini kena ada guru yang bagus, kalau tiada guru yang bagus bagaimana kita nak lahirkan pemain yang bagus. Kelab kena banyak program pembangunan seperti klinik bola sepak dan ramai juga individu termasuk jurulatih yang mendirikan akademi.

“Namun, FAM pun kena bantu dan pantau yang mana mereka perlu pastikan pengendali akademi dan klinik bola sepak yang dijalankan adalah terdiri daripada jurulatih yang bertauliah.

“Malah, jika ada akademi bola sepak yang memang menyerlah, apa salahnya kalau FAM bantu sedikit dari segi kewangan atau apa yang sepatutnya,” katanya kepada BH Sukan.

Usia Bukan Halangan Main Di Peringkat Senior

Dalam pada itu, Azlan berharap kelab tidak menjadikan usia sebagai halangan untuk pemain-pemain muda diberikan pendedahan kepada aksi lebih kompetitif setaraf pemain senior.

Beliau menegaskan pemain muda berbakat harus diberikan peluang menunjukkan keupayaan bersaing dengan pemain lebih senior walaupun usia mereka baru mencecah belasan tahun.

“Kematangan pemain beraksi tidak terikat pada umur, kadang-kadang pemain umur 17 tahun sudah boleh bermain di peringkat tinggi. Tidak semua pemain, tetapi ada pemain yang boleh dikatakan pemain istimewa, sebab mereka mudah matang.

“Jadi, jangan jadikan umur sebagai satu halangan untuk kita bagi mereka lebih pendedahan. Kalau kita lihat pemain itu bagus dan memang boleh bermain di peringkat lebih tinggi, kita kena bagi dia peluang,” tambahnya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!