HomeSukanIskandar Ada Cara Sendiri Untuk Ubah Wajah FAM dan Skuad Kebangsaan

Iskandar Ada Cara Sendiri Untuk Ubah Wajah FAM dan Skuad Kebangsaan

Bekas pemain ragbi kebangsaan, Iskandar Salleh, tampil menawarkan diri untuk bertanding merebut kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bercakap kepada Sukan Sinar, Iskandar yang juga perunding kecergasan menyenaraikan beberapa manifesto untuk merubah wajah bolasepak negara bermula di peringkat akar umbi sehingga ke pentas tertinggi.

Malah beliau juga bersedia menyalurkan RM50,000 daripada RM90,000 gaji presiden setiap bulan kepada Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Pusat Latihan Daerah (PLD) terpilih bagi membina gim untuk melahirkan pemain yang memiliki tahap kecergasan terbaik.

“Sabah dan Sarawak pula akan mengadakan liga sendiri yang dikenali sebagai Piala Borneo.

“Saya juga amat mementingkan integriti dengan pegawai Persatuan Bolasepak Negeri (FA) yang bermasalah pula tiada tempat dalam badan ini,” katanya.

Baca Juga : Tiada Pengganti Sesuai, Hamidin Diminta Buat U-Turn

Bagi skuad kebangsaan pula, Iskandar berkata akan dibarisi pemain berpengalaman serta tenaga muda termasuk di B-23 dan B-19 tahun dan mereka akan menghadiri kem kecergasan secara berperingkat.

“Para pemain akan didedahkan mengenai kekuatan fizikal, nutrisi dan mental. Tanpa mengira pemain ini warisan, naturalisasi atau tempatan, mereka perlu berada pada tahap kecergasan terbaik,” ujarnya.

Manakala bagi saingan liga utama negara hanya akan melibatkan dua pasukan bagi setiap kelab iaitu skuad senior yang beraksi di Liga Super dan pasukan B-23, manakala pasukan B-18 dan B-20 akan berada di bawah tanggungjawab FA negeri.

“Liga M3 pula akan dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut wilayah iaitu Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak), Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta Tengah (Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor),” ujar Iskandar.

Untuk makluman, Iskandar merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan bermula tahun 2000-2005 dan ketika ini merupakan jurulatih kecergasan, selain pernah membuat kajian berkaitan bola sepak pada 2007.

Malah pasukan bola sepak sebuah sekolah sukan Malaysia turut menggunakan program latihan beliau sejak 2018 hingga kini.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!