HomePengurusan KDNFC Diminta Tidak Lari Daripada Tanggungjawab

Pengurusan KDNFC Diminta Tidak Lari Daripada Tanggungjawab

Masalah melanda Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) ternyata semakin kritikal dan hampir pasti tiada harapan untuk kelab itu mengelak daripada berkubur.

Pengurusan yang tidak bertanggungjawab dan lepas tangan, tidak ambil peduli kebajikan -pemain dan pegawai, mendorong kepada prestasi buruk pasukan itu yang terus-menerus menjadi belasahan dan lubuk mata kepada mana-mana lawan.

Setelah dibelasah Perak 7-0, giliran Penang pula meratah mereka di Stadium Sultan Muhammad Ke-Iv Kota Bharu dengan keputusan 6-1.

Ini komen daripada penolong ketua jurulatih, Kamaruddin Muhammad dalam sidang media selepas perlawanan.

“Kita tidak berlatih setiap hari, sebaliknya hanya dipanggil untuk bermain. Pemain baru dikumpulkan dua hari lepas dan menjalani latihan sebelum menentang Penang FC malam tadi.

“Dalam tempoh seminggu, kita hanya berlatih dua atau tiga hari, menyebabkan pasukan sukar untuk bersaing dengan pasukan Liga Super lain seperti Penang FC, yang mempunyai pengalaman dan barisan pemain import yang mencukupi.

“Kita sekarang berada dalam keadaan kritikal dan beraksi hanya untuk melengkapkan baki jadual perlawanan Liga Super, kerana sudah tidak mampu bersaing. Kita hanya bergantung kepada pemain muda tempatan, sedangkan pasukan lain memiliki lima pemain import serta pemain tempatan berpengalaman.

“Pasukan ini dibarisi pemain muda dengan hanya satu atau dua pemain yang berpengalaman dalam Liga Super. Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil kita akan mengalami kekalahan lebih besar selepas ini.

“Saya berharap pengurusan bertanggungjawab dan dapat mengambil langkah segera menangani kemelut yang melanda, dan turut berharap selepas ini KDNFC akan dikendalikan oleh jurulatih berkaliber yang dapat membantu pasukan bersaing lebih kompetitif,” katanya.

Baca Juga: KDNFC Sudah Tiada Semangat Teruskan Perjuangan

Dalam perlawanan pada Jumaat, import Penang FC, Rodrygo Dias muncul wira dengan meledak empat gol manakala dua lagi gol dijaringkan Nik Akif Syahiran dan Dylan Wenzel Halls, manakala gol tunggal KDFV dijaringkan Syahir Rashid.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!