Walaupun sejak akhir-akhir ini rancak diperkatakan mengenai Liga Malaysia yang semakin suram, hambar dan sendu, kejayaan gergasi bolasepak tanah air Johor Darul Takzim (JDT) menyambar tiga bekas bintang La Liga membuktikan kelab dari liga ini masih ada tarikan.
JDT baru-baru ini mengumumkan kemasukan Alvaro Gonzalez, Jonathan Viera dan Roque Messa untuk memperkuatkan pasukan dalam baki saingan Liga Juara Asia Elite (ACLE) menentang Central Coast Mariners dan FC Pohang Steelers.
Dalam satu laporan disiarkan Sukan Sinar, Pengarah Urusan Action Football Asia, Effendi Jagan Abdullah berkata JDT bukan sahaja kekal menjadi perhatian pemain-pemain terkemuka Eropah tetapi dalam masa sama menyelamatkan imej Liga Malaysia.
“JDT sudah tentu berada pada tahap berbeza. Tuanku Mahkota Ismail (Pemilik JDT) ada di sana dan mereka juga ada staf yang cukup bagus dan profesional.
“Pemain-pemain terutama dari Eropah yang mahu datang sudah tentu akan periksa betul-betul kemampuan pasukan dan sebagainya.
“Mereka bukan saja-saja datang dan itu dibuktikan oleh JDT yang berjaya membawa tiga pemain yang ada nama di Eropah walaupun sudah berusia,” katanya kepada Sukan Sinar.
Mengenai sambutan dingin dan kemerosotan kehadiran penyokong ke stadium, Effendi Jagan percaya usaha menyeluruh perlu dilakukan dalam usaha memastikan saingan Liga Malaysia kembali bernyawa.
Beliau turut meminta mana-mana pasukan yang tidak berkemampuan daripada awal musim untuk tidak menyertai saingan liga agar mereka tidak menghadirkan masalah pada masa akan datang.
“Bagi saya, memang saingan liga kita semakin parah. Banyak faktor yang menyumbang tetapi antara yang utama sudah tentu masalah tunggakan gaji dalam pasukan.
“Dalam masa sama, kita juga kena ada satu perjumpaan yang besar dari segi pemegang taruh, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), penaja dan sebagainya untuk melihat kenapa suram dan makin parah.
“Kalau tunggu saja tanpa ada tindakan, sudah tentu ia akan menyebabkan liga kita terus hilang sokongan dan hambar,” ujarnya.