HomeArif Aiman: "Kalau Bukan Kerana TMJ, Saya Takkan Berada di Tahap Ini"

Arif Aiman: “Kalau Bukan Kerana TMJ, Saya Takkan Berada di Tahap Ini”

Bintang sensasi JDT dan Harimau Malaya, Arif Aiman mendedahkan ‘tulang belakang’ yang membantu dia meraih pelbagai kejayaan pada usia muda dan mencipta nama sebagai pemain terbaik dalam negara masa kini.

“Impian saya dari kecil adalah untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya. Selama ini saya mendapat sokongan yang hebat, terutama daripada ibu bapa saya yang banyak menyokong dan mendoakan kejayaan saya sejak kecil.

“Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail juga amat menyokong dan memainkan peranan dalam perkembangan saya di JDT. Saya akan terus bekerja keras kerana mentaliti saya adalah untuk sentiasa memperbaiki diri,” katanya ketika temu bual bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), the-AFC.com.

Ditanya mengenai matlamat jangka panjang dan adakah dia bercita-cita untuk beraksi di luar negara, Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tiga kali berturut-turut itu juga memberi bayangan mahu kekal beraksi bersama Harimau Selatan untuk jangka panjang.

“Matlamat jangka panjang saya adalah untuk terus meningkat sebagai pemain dan terus beraksi pada tahap tertinggi untuk JDT. Saya perlu terus bekerja keras untuk berada di tempat saya hari ini.

“Saya berasa tahap saya masih belum cukup, jadi saya akan terus berusaha dan menumpukan kepada matlamat yang tinggi,” katanya.

Pemain berusia 22 tahun itu sebelum ini menjadi perhatian penyokong beberapa kelab luar negara termasuklah Rangers dan Persepolis berikutan prestasi menakjubkan ditunjukkannya di pentas ACLE.

Beberapa pemerhati bolasepak tempatan kemudiannya menyatakan jika Arif Aiman mendapat tawaran kelab luar negara, JDT perlu berbesar hati melepaskannya pergi.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!