Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin mendedahkan syarikat automotif tempatan itu telah menerima permohonan daripada kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United tentang potensi mereka terlibat sebagai salah satu penaja pasukan itu.
Tan Sri Asmat yang bercakap kepada pemberita di sidang media Kejohanan Siri Golf Amatur Kebangsaan di Saujana Golf and Country Club, berkata pihaknya sedang mempertimbangkan tawaran daripada juara EPL 20 kali itu.
“Baru-baru ini, saya ada menerima surat daripada Manchester United yang bertanya sama ada mereka boleh memaparkan logo PERODUA pada jersi mereka dan sama ada kami berminat untuk menaja mereka.
“Saya biasanya tidak berkongsi perkara seperti ini secara terbuka, tetapi secara peribadi, saya sebenarnya penyokong Arsenal. Kalau saya buat begitu, rasa macam tak adil untuk Arsenal,” katanya secara berseloroh.
Baca Juga: Amorim Lebih Rela Turunkan Jurulatih Goalie Daripada Rashford
Sekiranya tajaan itu dimeterai, PERODUA bakal mengikut jejak langkah syarikat automotif antarabangsa lain seperti Chevrolet dari Amerika Syarikat dan Hyundai dari Korea Selatan yang sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama dengan United.
“Minat daripada kelab bola sepak terkemuka seperti United menunjukkan PERODUA semakin dikenali di peringkat antarabangsa. Kami akan mempertimbangkannya, terutama untuk bolasepak di Malaysia,” ujar beliau.
Sebagai rekod, meskipun kaya dengan sejarah gemilang, the Red Devils sejak beberapa musim kebelakangan sudah kehilangan aura mereka dan tidak lagi dinilai sebagai pencabar kejuaraan malah lebih sinonim sebagai pasukan pertengahan liga.
Selain prestasi buruk, pasukan itu berdepan pelbagai masalah dalaman, sering bertukar pengurus pasukan, dan bagi saingan musim ini pasukan bimbingan Ruben Amorim itu sedang mengharungi musim terburuk mereka dalam sejarah.