HomeSukanMikel Merino Terkejut Dimasukkan Sebagai Penyerang

Mikel Merino Terkejut Dimasukkan Sebagai Penyerang

Penjaring dua gol Arsenal ketika menewaskan Leicester City, Mikel Merino mengakui terkejut apabila dimasukkan sebagai penyerang – posisi yang dia tidak pernah bermain sebelum ini.

Merino, pemain tengah yang menyertai The Gunners pada musim panas lalu, dimasukkan sebagai penyerang ‘bidan terjun’ menggantikan Raheem Sterling pada Sabtu, berikutan pasukan kendalian Mikel Arteta itu dalam situasi terdesak memburu jaringan.

Mereka sudah tiada pilihan lain setelah kehilangan Bukayo Saka, Kai Havertz, Gabriel Martinelli dan Gabriel Jesus gara-gara kecederaan.

Pemain Sepanyol itu membalas kepercayaan Arteta, dengan dua gol – yang pertama menanduk masuk hantaran Ethan Nwaneri dan kedua menolak masuk lintangan Leandro Trossard untuk Arsenal menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-0.

“Arteta memberitahu supaya saya masuk sebagai penyerang, kami berbincang mengenainya sebelum perlawanan bersama salah seorang pembantu jurulatih, dan saya sedikit terkejut.

“Ini adalah kali pertama dalam karier saya bermain sebagai penyerang. Arteta meminta saya menggunakan sahaja kelebihan saya, dan bersyukur dapat menjaringkan dua gol,” ujar Merino kepada TNT Sports, seperti dilaporkan ESPN.

Baca Juga: Tak Pernah Jumpa Penalti Pelik Seperti Ini Dalam Karier Saya – Arteta

Ditanya jika dia boleh terus bermain di posisi itu tatkala krisis serangan Arsenal cukup kritikal, Merino berkata: “Saya tidak tahu. Secara jujur saya tidak rasa begitu. Sepanjang karier, saya hanya pernah skor dua gol dalam satu perlawanan sebanyak dua kali dan ini adalah kali pertama saya lakukannya sebagai pemain gantian di posisi penyerang.”

“Ia adalah detik terbaik untuk menjaringkan gol, memandangkan saya tidak meluangkan masa menyambut Hari Kekasih bersama isteri saya, gol ini adalah untuk dia!”

Merino telah menjaringkan 40 gol dalam perjalanan karier profesionalnya, dengan lapan musim terakhir bersama Real Sociedad. Dua gol menentang Leicester adalah gol ketiga dan keempat peribadinya bersama Arsenal dan Arteta menaruh keyakinan pemain berusia 28 tahun ini akan membawa lebih banyak impak.

“Ketika memasukkan Merino, saya beritahu kepadanya, dia akan menjaringkan gol dan dia melakukannya. Dia jelas satu ancaman nyata kepada lawan, pada saat mereka (Leicester) mula bergerak semakin ke bawah dan kami pula banyak berlegar di final third, kami tahu detik ini akan tiba. Tetapi untuk menterjemahkannya bukan sesuatu yang mudah.

“Merino tidak pernah sekalipun bermain sebagai nombor sembilan (penyerang). Tetapi timing dia cukup bagus, dia boleh menghidu peluang dan menyempurnakannya. Sudah tentu timbul banyak cakap-cakap dia adalah solusi kepada masalah penyerang kami, tetapi saya tidak mahu memberi tekanan atau membuatkannya terbuai.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!