Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baru, Datuk Joehari Ayub memberi jaminan akan memastikan tiada lagi individu yang sekadar menjadi penumpang di dalam organisasi itu selepas ini.
Menurutnya, setiap individu yang telah dilantik setelah berakhirnya Kongres Pemilihan FAM pada Sabtu, sama ada yang mempertahankan jawatan ataupun muka-muka baru akan dinilai menerusi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing.
Ini bermakna mereka tidak lagi boleh duduk diam sahaja sebaliknya perlu berganding bahu dan bekerja untuk memastikan kualiti bola sepak negara berada pada tahap optimum. Apa sahaja ‘kotoran’ dan ‘sampah’ dari kepimpinan terdahulu akan disingkirkan.
“Sudah tentu ada KPI (petunjuk prestasi utama), kita perhalusi bagi mereka buat yang terbaik untuk FAM,” katanya yang akan bertindak memantau setiap gerak kerja ahli jawatankuasa dengan terperinci.
Beliau bagaimanapun belum memutuskan peranan-peranan yang akan diberi kepada muka-muka baru di dalam sekretariat nanti.
Joehari sah dipilih sebagai presiden baru FAM selepas menang tanpa bertanding untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan.
Baca Juga: “Nak Cakap Belakang, Tiada Masalah” – Yusoff Mahadi
Sementara itu, Hamidin bersedia untuk terus menyumbang kepada arena bolasepak tanah air, meskipun tidak lagi berperanan sebagai orang no.1 dalam FAM.
“Saya sudah lama tinggalkan keluarga, dekat 40 tahun saya dalam arena bola sepak dan sudah mengharungi semua posisi daripada Exco, Setiausaha, Naib Presiden sehinggalah ke Presiden. Jadi saya rasa saya nak berehat sedikitlah.
“Masih ada komitmen sebagai Exco Fifa dan AFC serta Majlis AFF untuk saya habiskan sampai 2027. Apa yang penting, saya akan terus memberi sokongan dan input kepada FAM.
“Kita perlu terus membantu kerana kelemahan memang ada, tanggungjawab yang besar kepada presiden baharu dan yang lain. Jadi kita perlu kemaskan mana yang patut untuk kita naikkan bola sepak kita,” katanya.
Tambahnya lagi, “Saya sudah berjumpa dengan semua dan katakan, mereka boleh mendapatkan pandangan dan komitmen saya pada bila-bila masa sahaja. Sudah tentu kita takkan dapat 100 peratus (perancangan untuk dilakukan) tetapi kita kena buat betul-betul.
“Buat yang terbaik dan saya rasa, banyak elemen yang sudah saya buatkan jadi saya harap sebahagian besarnya akan diteruskan.”