HomeSukanFitri Maskon Pengadil Pertama Dipecat FAM

Fitri Maskon Pengadil Pertama Dipecat FAM

Pengadil kontroversi, Fitri Maskon menjadi ‘mangsa’ ketegasan pertama pucuk pimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila dipecat daripada semua tugasannya.

Keputusan drastik itu diambil susulan prestasi buruknya ketika mengendalikan perlawanan Piala MFL antara Negeri Sembilan dan Selangor II pada Khamis (13 Februari) lalu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

FAM menerusi Timbalan Presiden yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Datuk S.Sivasundaram menjelaskan meskipun ia keputusan berat, ia adalah perlu sebagai peringatan kepada pengadil lain supaya menjalankan tugas dengan lebih baik.

Baca Juga: Kelab Penyokong TFC Harap Pengadil Tak Berat Sebelah

Menurutnya keputusan diambil selepas meneliti secara terperinci laporan penilai pengadil yang diterima pihaknya.

“Laporan Penilai Pengadil telah menunjukkan bahawa Fitri telah menunjukkan satu prestasi yang sangat lemah, sekali gus mempengaruhi keputusan perlawanan. Unit Pengadil FAM juga telah membuat analisa perlawanan dan mendapati keputusan sepakan penalti yang diberikan oleh beliau adalah kurang tepat.

“Hasil analisa juga menunjukkan tambahan masa yang diberi iaitu 15 minit pada akhir perlawanan adalah keterlaluan sehingga menyebabkan perlawanan yang sepatutnya berkesudahan seri, berakhir dengan keputusan berbeza.

“Ini jelas membuktikan bahawa keputusan pengadil telah mempengaruhi dan memberi impak yang jelas kepada keputusan akhir perlawanan,” katanya.

Perlawanan itu menyaksikan Selangor FC II menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan menerusi jaringan Izrin Ibrahim dan penalti Harry Danish pada minit ke-15 masa kecederaan.

Ia juga menjadi topik hangat diperkatakan penyokong sehingga ada yang membuat andaian liar dan mendakwa wisel penamat tidak ditiup Fitri selagi mana Selangor tidak menjaringkan gol.

Keputusan itu melonjakkan Selangor II ke tangga teratas Piala MFL mengatasi JDT dengan kelebihan dua mata.

Sivasundaram berkata keputusan memecat Fitri Maskon bukan dibuat secara melulu, sebaliknya menerusi perbincangan yang mendalam bersama kepimpinan tertinggi FAM.

“Walaupun keputusan tegas ini dibuat dengan hati yang berat, namun ia perlu dijadikan sebagai satu pengajaran kepada semua pengadil.

“Keputusan memecat pengadil adalah satu tindakan yang pertama kali dibuat kerana sebelum ini pengadil hanya digantung tugas. Ini satu isyarat jelas supaya pengadil perlu lebih serius ketika menjalankan tanggungjawab mereka di atas padang,” katanya.

Sebagai rekod, Fitri sebelum ini pernah digantung FAM pada 2019 susulan prestasi lemah ketika perlawanan Selangor dan Kuala Lumpur, malah dia juga membuat beberapa keputusan kontroversi ketika pertembungan Liga Super antara JDT dan Terengganu tahun lalu termasuk melayangkan kad merah kontroversi kepada Ubaidullah Samsul.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!