HomeSukanFAM Buat Keputusan Terburu-Buru Pecat Pengadil Fitri Maskon

FAM Buat Keputusan Terburu-Buru Pecat Pengadil Fitri Maskon

Pecat pengadil Fitri Maskon, FAM disifatkan sebagai terburu-buru dan tidak menangani permasalahan dengan betul.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disifatkan membuat keputusan terburu-buru dan tidak bertimbangrasa apabila memecat pengadil Fitri Maskon.

Pandangan itu diluahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh kepada Sukan Sinar, dengan merasakan ada cara lebih baik untuk menangani kontroversi pengadilan yang dikaitkan dengan Fitri Maskon.

FAM menerusi Datuk S.Sivasundaram pada Ahad memaklumkan Fitri Maskon dipecat daripada tugasannya berikutan pengadilan buruk ketika perlawanan Piala MFL antara Selangor II dan Negeri Sembilan di Paroi.

Fitri didakwa membuat beberapa keputusan kontroversi termasuk melanjutkan masa kecederaan sehingga 15 minit, membolehkan Selangor meraih gol kemenangan pada minit akhir menerusi tendangan penalti.

Kemenangan itu sekaligus melonjakkan Red Giants selaku pendahulu Piala MFL mengatasi JDT dengan kelebihan dua mata.

Berita Berkaitan: Fitri Maskon Pengadil Pertama Dipecat FAM

Subkhiddin kesal kerana bukan sahaja keputusan itu dibuat segera dalam masa tiga hari selepas perlawanan itu berlangsung, tetapi hebahan dibuat FAM memalukan pengadil itu dan juga keluarganya.

“Memang ia satu sejarah (tindakan tidak pernah dilakukan memecat pengadil), tetapi apabila sejarah dicipta dengan cara ini saya agak sedih. Ia tindakan yang agak tergesa-gesa oleh FAM kerana perlawanan berlangsung pada Khamis lalu dan selang tiga hari kemudian sudah ada pemecatan.

“Mungkin keputusan Fitri dibuat (semasa perlawanan) tidak tepat, namun sebagai badan bertanggungjawab tak boleh luahkan kemarahan dengan cara memecat seperti ini.

“Saya tidak pertikaikan kuasa pemecatan oleh FAM, namun mungkin ada cara lain yang lebih sesuai seperti rehatkan dan minta dia untuk bersara.

“Bukan dengan cara memecat dan memalukannya dengan kenyataan yang diumumkan kepada umum. Sudah tentu ia akan memberikan kesan kepada Fitri bukan sahaja kepada maruah dirinya tetapi juga kepada keluarga dan kariernya,” ujar Subkhiddin.

Apa yang dikatakan Subkhiddin ada benarnya, perlawanan berlangsung pada Khamis. Kesemua ahli jawatankuasa FAM pula sedang sibuk dengan Kongres Pemilihan FAM yang berlangsung Sabtu, dan mereka ada masa pula untuk bermesyuarat membuat keputusan yang cukup besar ini.

Beliau yang kini bertugas sebagai Ketua Pengajar Pengadil dan Penasihat PEmbangunan Pengadil Persatuan Bolasepak Korea Selatan turut meluahkan kebimbangan betapa keputusan FAM itu boleh memberi ‘domino effect’ dengan menjejaskan prestasi pengadil lain.

“Tindakan drastik sebegini dikhuatiri akan memberikan perasaan tekanan kepada pengadil lain yang bertugas. Mungkin mereka rasa bimbang dan kurang selesa bertugas di bawah tekanan yang akan menyebabkan lebih banyak kesilapan berlaku.

“Saya harap perkara dan setiap keputusan yang mahu dibuat FAM pada masa akan datang lebih bersifat empati dan simpati untuk memastikan satu jalan penyelesaian terbaik dapat dicapai,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!