Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Joehari Ayub percaya penyokong bolasepak tanah air akan teruja dengan pengumuman mengenai pemain warisan yang akan dibuat tidak lama lagi.
Beliau faham penyokong sudah tidak sabar untuk mengetahui siapakah gerangan pemain yang akan memperkasa Harimau Malaya, dan menjelaskan segala persoalan akan terjawab tidak lama lagi.
“Pemain warisan akan diumumkan dalam masa terdekat ini. Nanti kita umumkan sebab sekarang ini masih dalam proses.
“Jadi kami di FAM akan berusaha sehabis baik untuk memastikan projek ini berjalan sebaik mungkin dan pastinya sasaran kita untuk capai kemenangan.
“Jadi semua harus tunggu berita yang akan tiba yang buat saya sungguh teruja dan harap kalian semua juga,” katanya.
Sebagai rekod, menerusi usaha ‘team’ Tunku Ismail Sultan Ibrahim, beberapa pemain warisan berjaya dikenalpasti dan dalam proses untuk mendapat kerakyatan.
Baca Juga: FAM Tiada Maklumat Tentang Pemain Warisan
Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Robert Friend dalam satu kenyataan pada bulan lalu memberitahu sekurang-kurangnya proses mendapatkan kerakyatan buat empat pemain termasuk seorang dari Belanda sudah dalam fasa akhir.
“Kami berharap ingin mengambil langkah yang cemerlang apabila Kelayakan Piala Asia 2027 bermula pada Mac, dan dengan mempunyai pilihan yang lebih luas dengan pemain-pemain warisan ini akan meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya.
“Walau bagaimanapun, kami tetap sama-sama komited untuk mencapai hasil dalam pembangunan pemain domestik di semua peringkat bola sepak di Malaysia.
“Walaupun naturalisasi adalah antara komponen penting dalam strategi kami, kami memahami kepentingan memupuk bakat tempatan untuk memastikan kejayaan yang mampan untuk pasukan kebangsaan.
“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan skuad seimbang dan berdaya saing yang mewakili kebanggaan dan semangat bola sepak Malaysia,” kata Friend ketika itu.