Home"Selangor Kelab Penuh Sejarah dan Akan Terus Cipta Sejarah"

“Selangor Kelab Penuh Sejarah dan Akan Terus Cipta Sejarah”

Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi berkata salah satu cara beliau memberi semangat dan motivasi kepada pemainnya adalah sentiasa mengingatkan kepada mereka mengenai sejarah hebat pasukan itu.

Menurut Kinoshi ia penting untuk setiap pemain tahu tentang sejarah pasukan itu sebagai pasukan paling berjaya dalam kancah bolasepak tempatan agar mereka mempunyai rasa bangga dan sentiasa berkobar-kobar mahu mempertahankan sejarah tersebut.

“Selangor FC penuh sejarah dan akan terus mencipta sejarah, apabila pemain faham sejarah, mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk mempertahankan sejarah malah lebih bersemangat mahu melakar sejarah baru dalam apa jua situasi sukar.

“Mereka akan tahu bagaimana untuk bertindakbalas. Sebagai contoh situasi sukar ketika final Piala Cabaran, bermain dengan 10 pemain dan berdepan kebangkitan PDRM, saya tekankan sejarah Selangor FC di separuh masa pertama dan selepas itu mereka menunjukkan lebih keghairahan walaupun bermain dengan kekurangan.

“Akhirnya kita mendapat jaringan ketiga dan melepasi ujian yang sukar,” kata Kinoshi.

Tambahnya lagi, adalah penting untuk ‘move on’ dari kemenangan tempoh hari fokus kepada aksi seterusnya iaitu final kedua pada Sabtu ini dalam usaha melakar sejarah baru Liga Malaysia.

Baca Juga: Disangka Sign Mesin-Gol, Rupanya Tertipu Dengan Statistik Wikipedia

Selangor bukan sahaja berpeluang menoktahkan kemarau trofi selama 10 musim, tetapi dalam masa sama akan muncul pasukan pertama untuk merangkul kesemua trofi domestik yang dipertandingkan selepas terdahulu pernah menjulang trofi Liga Semi Pro Divisyen Satu, Liga Perdana Satu, Liga Super, Divisyen Dua, Liga Premier, Piala FAM, Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.

Kinoshi menjelaskan persiapan berada dalam landasan tepat meskipun akan turun tanpa kelibat Safuwan Baharudin yang dilayangkan kad merah, selain memperbaiki beberapa kelemahan.

“Seorang jurulatih perlu percaya kepada semua pemainnya, saya percaya kepada semua yang bekerja untuk pasukan ini. Jadi tiada masalah untuk menggantikan Safuwan.

“Masalah kami, ada ketika di mana pemain terkejut dan kehilangan fokus sehingga menyebabkan dua gol dibolosi. Ini yang perlu kami perbaiki agar tidak berulang. Namun, saya yakin mereka sudah faham dan bersedia untuk membetulkannya,” ujar jurulatih itu.

Selangor akan bertemu PDRM dalam perlawanan yang diubah venue ke Stadium MBPJ dengan membawa kelebihan agregat 3-2.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!