Pengendali Pohang Steelers, Park Tae-ha kecewa perjuangan pasukannya dalam saingan Asian Champions League Elite (ACLE) berakhir di peringkat kumpulan setelah kekalahan kepada Johor Darul Takzim.
Menurut Tae-ha, dia menerima hakikat pasukannya tewas kepada JDT yang dibarisi pemain berkualiti dan bermain lebih baik dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Walaupun mengakui kekalahan Pohang Steelers adalah kerana kesilapan sendiri, jurulatih berusia 56 tahun itu kesal dengan tindakan beberapa individu tidak dikenali membakar mercun di luar hotel penginapan mereka yang sekaligus mengganggu anak buahnya tidur dan mendapat rehat mencukupi.
“Saya ingin ceritakan apa yang berlaku di hotel kami, malam tadi (kelmarin). Ini kerana ada segelintir individu bermain bunga api di luar hotel kami menginap untuk mengganggu tidur pemain kami sepanjang malam, ini berlaku antara 11 malam hingga 5 pagi.
“Saya tidak kata ini punca utama kami tewas dalam perlawanan itu, tapi saya perlu hebahkan perkara ini. ACLE adalah pertandingan berprestij, salah satu kejohanan antarabangsa di bawah kalendar Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (Fifa).
“Jadi, kita perlu bertanding secara baik dan profesional, perlu menghormati dan memahami lawan. Tak perlu buat provokasi. Saya tidak faham bagaimana perkara ini boleh berlaku,” kata Tae-ha dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam aksi berlangsung di hadapan lebih 30,000 penyokong itu, Pohang terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi Lee Ho-jae pada minit ke-27.
Namun kelebihan itu tidak dapat dipertahankan apabila JDT bangkit dengan tiga gol menerusi Oscar Aribbas, Bergson da Silva dan Arif Aiman untuk mendahului 3-1 selepas 60 minit perlawanan berlangsung.
Pohang mengurangkan defisit pada minit ke-80 namun dua gol pada masa kecederaan oleh Jese Rodriguez dan Jorge Obregon memastikan kemenangan mutlak 5-2 buat Harimau Selatan.
“Dalam perlawanan terakhir ini, kami cuba melakukan sebaik mungkin, namun kesilapan individu menjadi duri dalam daging dan punca utama kami tewas.
“Tiada masalah pada taktikal yang diterapkan, namun apabila sudah ketinggalan, kami bergelut untuk bangkit.
“Walaupun pemain menunjukkan semangat juang tinggi dengan menyerang hingga minit akhir, kami tak mampu untuk baiki kesilapan itu,” katanya.