Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan menyiasat aduan dihantar Pohang Steelers berhubung gangguan bunyi mercun di luar hotel penginapan mereka di Johor Bharu, sebelum aksi Asian Champions League Elite (ACLE) menentang JDT pada Selasa.
Jurulatih Pohang Steelers, Park Tae-ha, mendakwa tindakan beberapa individu membakar mercun di luar hotel mereka mencetus bunyi bising tanpa henti dari 11 malam ke 5 pagi, yang sekaligus menganggu tidur dan rehat pemainnya menjelang aksi terakhir kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim.
Di sebalik memerlukan kemenangan untuk mara ke peringkat seterusnya, Pohang Steelers tewas 2-5 kepada Harimau Selatan, dan tersingkir daripada saingan.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul mengesahkan pihaknya telahpun menerima laporan rasmi yang dikemukakan oleh Pohang Steelers berkenaan insiden tersebut.
“Kita akan menyiasat laporan dan dokumen yang dihantar, sekiranya ada peraturan yang dilanggar maka jawatankuasa yang berkenaan akan mengambil tindakan,” ujar Windsor dilaporkan NST Sports.
Menurutnya lagi, meskipun pasukan tuan rumah adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan pasukan pelawat, namun disebabkan mercun dinyalakan di tempat terbuka (jalan yang digunakan awam) maka perkara ini adalah dalam bidang kuasa Polis Diraja Malaysia.
“Kami pernah menerima laporan berkait bunyi bising sebelum ini, contohnya seperti bunyi hon kenderaan. Tetapi ini adalah kali pertama laporan dikemukakan mengenai bunyi mercun, ia adalah masalah yang berbeza.
“Pasukan tuan rumah bertanggungjawab mengawal keselamatan dalam stadium, venue latihan dan juga hotel penginapan, tetapi bukannya tempat awam seperti jalan raya,” tambah Windsor lagi.
Berita Berkaitan: Nak Lawan Kena Profesional, Saling Hormat dan Elak Provokasi
Sejurus tamat perlawanan, Park Tae-ha dalam sidang media tidak menyatakan isu gangguan mercun sebagai punca utama pasukannya tewas namun dia merasakan ia adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.
“Saya tidak kata ini punca utama kami tewas dalam perlawanan itu, tapi saya perlu hebahkan perkara ini. ACLE adalah pertandingan berprestij, salah satu kejohanan antarabangsa di bawah kalendar FIFA.
“Jadi, kita perlu bertanding secara baik dan profesional, perlu menghormati dan memahami lawan. Tak perlu buat provokasi. Saya tidak faham bagaimana perkara ini boleh berlaku,” kata Tae-ha yang mengecam insiden tersebut.