HomeSukanKeluar JDT Demi Minit Permainan, Danial Amier Giat Pulih Prestasi

Keluar JDT Demi Minit Permainan, Danial Amier Giat Pulih Prestasi

Pemain tengah, Danial Amier Noshisham mengakui tidak pernah terlintas dirinya akan berkelana sehingga ke Malaysia Timur demi mendapatkan minit permainan.

Pemain berusia 27 tahun itu nenyertai Kuching City pada April tahun lalu, secara pinjaman semusim daripada Johor Darul Takzim dan dia mengakui ia bukan keputusan mudah untuk dibuat untuk pertama kali bermain dengan sebuah kelab merentasi Laut China Selatan.

Pernah dilabel sebagai bintang masa depan ketika awal kemunculannya mewarnai kancah bolasepak tanah air sekitar lapan tahun lalu, Daniel Amier yang dikesan bakatnya oleh Frenz United kemudiannya mencipta nama bersama Felda United dari 2017-2020.

Sejak menyertai JDT pada 2021, Daniel Amier belum dapat menyerlahkan potensi sebenar berikutan perkembangan kariernya terbantut dek kecederaan panjang dan berulang yang dialami malah sehingga kini masih dalam fasa kembali ke prestasi terbaiknya.

Dia mengakui, keputusan untuk keluar daripada JDT demi mendapatkan minit permainan sedikit sebanyak membantu pemulihan kariernya.

“Satu keputusan yang sukar untuk keluar daripada JDT demi mendapatkan minit permainan. Tapi Alhamdulillah, terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerana memberi peluang merestui perpindahan ke Kuching City untuk mendapatkan kembali prestasi sebenar.

“Satu cabaran dan perkara baru. Tidak pernah terfikir untuk berada di Sarawak tetapi semuanya berjalan dengan lancar. Bantuan daripada ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, dan rakan sepasukan sangat memudahkan,” katanya dalam laporan Nadi Arena.

Baca Juga: JDT Selamatkan Imej Liga Malaysia Yang Dilabel Sendu

Danial Amier turut tidak melupakan jasa besar mendiang B.Sathianathan, bekas jurulatih Felda United yang bertanggungjawab menggilap dan memperkenalkan namanya dalam Liga Malaysia sehingga berjaya merebut tempat dalam skuad B-23 kebangsaan.

“Saya sangat terhutang budi dengan mendiang B. Sathianathan kerana dialah pencetus kepada permulaan karier saya bermain untuk skuad kebangsaan.

“Dia banyak membantu saya dan membuka ruang buat Datuk Ong Kim Swee (bekas jurulatih B-23/senior Malaysia), melihat permainan saya semasa bermain di Felda United,” tambahnya.

Pada Disember lalu, Danial Amier memperkuatkan skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti di Piala AFF 2024 dan dia berharap ia menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan prestasi dan kekal berada dalam radar skuad kebangsaan.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!