FAM membuat kesimpulan bahawa setiap ‘key match incident’ dalam perlawanan tersebut telah diadili dengan tepat oleh Razlan Jofri mengikut Undang-undang permainan FIFA.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berpendapat pengadil, Razlan Jofri Ali telah melaksanakan tanggungjawab dengan cukup cemerlang ketika mengadili aksi final Piala Malaysia 2025 antara Johor Darul Takzim dan Sri Pahang pada Sabtu lalu.
Mutu pengadilan Razlan dikecam dan dikritik hebat atas beberapa keputusan kontroversi termasuk penalti yang dihadiahkan kepada JDT.
Tetapi FAM menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Dato’ S.Sivasundaram menyatakan Razlan telah membuat keputusan-keputusan tepat setelah meneliti laporan Penilai Pengadil serta analisis oleh Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM.
“Laporan Penilai Pengadil menunjukkan bahawa pengendalian perlawanan oleh Razlan Jofri Ali telah menunjukkan satu prestasi yang baik, sekali gus tidak mempengaruhi keputusan akhir perlawanan.
“Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM juga telah membuat analisa perlawanan dan mendapati keputusan Kad Kuning kedua (Perintah keluar padang) yang diberikan kepada kedua-dua pasukan adalah tepat dari segi Undang-undang Permainan FIFA 2024/2025.
“Keputusan penalti yang diberikan kepada pasukan JDT dan keputusan membatalkan gol JDT kerana kesalahan offside adalah tepat.
“Setiap insiden dalam permainan tersebut telah disemak dengan tepat oleh Pengadil VAR dan tahap pematuhan ‘Protocol VAR’ adalah sangat cemerlang,” kata Sivasundaram.
Sivasundaram turut membuat kesimpulan bahawa setiap ‘key match incident’ dalam perlawanan tersebut telah diadili dengan tepat mengikut Undang-undang permainan FIFA.
“Lumrah manusia yang mana tidak lari daripada kesilapan-kesilapan yang mana ia tidaklah sebesar mempengaruhi keputusan akhir perlawanan tersebut.
“Kedua-dua pasukan telah memiliki peluang yang sama rata untuk bergelar juara dan ia ditentukan oleh pasukan itu sendiri. FAM sangat komited dengan mutu prestasi pengadil dan FAM tidak pernah berkompromi dalam hal mutu pengadil,” tambahnya lagi.
Baca Juga: “Kalau Kalah Secara Adil, Saya Boleh Terima” – Fandi
Meskipun kenyataan FAM dilihat mempertahankan pengadil mereka, pengamal media serta penyokong yang menyaksikan perlawanan sama ada di stadium atau kaca tv rata-rata mengakui kualiti pengadilan Razlan berada di tahap buruk.
Razlan yang pernah digantung FAM baru sahaja lima bulan lalu kerana kesilapan pengadilan dilihat tertekan selepas Sri Pahang mendahului 1-0 dan melayangkan beberapa kad kuning mudah buat anak buah Fandi Ahmad, menyaksikan Sergio Aguero terpaksa meninggalkan pada seawal 35 minit perlawanan berlangsung.
Lebih menimbulkan kemarahan penyokong, kekasaran-kekasaran dilakukan pemain JDT khususnya Natxo Insa pula tidak dihukum. Malah penalti yang membawa kepada gol penyamaan JDT juga disifatkan sebagai tidak sepatutnya diberikan.
Pada perlawanan itu, JDT bangkit daripada ketinggalan untuk menjuarai Piala Malaysia buat kali kelima sekaligus melengkapkan triple treble.