Ketua jurulatih skuad bolasepak kebangsaan, Peter Cklamovski mengumumkan bahawa bekas pemain Everton, Jose Baxter akan menjadi wajah baru barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.
Berusia 33 tahun, Baxter akan bertindak sebagai penolong jurulatih bersama skuad B-23 tahun kendalian Nafuzi Zain, dalam masa sama turut bersama skuad senior.
“Perancangan kami untuknya adalah sebagai penolong jurulatih skuad B-23. Pelantikan ini dibuat untuk menyokong Nafuzi dan seterusnya menyokong falsafah kami ke dalam skuad B-23.
“Ini kerana kami melihat masa depan, kami lihat ini sebagai peluang untuk Jose ke pasukan utama. Kami membawa masuk untuk menyumbang kemahirannya ke dalam skuad utama dan juga menyuntik falsafah ke skuad B-23, sesuatu yang cukup penting untuk masa depan,” kata Cklamovski.
Baca Juga: MFL Ambil Serius Komen Cklamovski
Jawatan penolong jurulatih pasukan senior Harimau Malaya sebelum ini kosong selepas Mark Milligan membuat keputusan meninggalkan skuad itu untuk kembali ke Australia bagi menyertai kelab Newcastle Jets.
Untuk rekod, selain bersama Everton, Baxter juga pernah beraksi bersama beberapa kelab Inggeris iaitu Oldham Athletic, Sheffield United, Plymouth Argyle dan pasukan dari Amerika Syarikat, Memphis 901.