HomeSukanGara-Gara Baling Botol Kepada Pengadil, JDT Terima Padah

Gara-Gara Baling Botol Kepada Pengadil, JDT Terima Padah

Johor Darul Takzim (JDT) menerima padah akibat tindakan tidak profesional penyokong mereka ketika perlawanan menentang Buriram United dalam aksi Liga Juara-Juara Elit (ACLE) pada bulan Mac lalu.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu, penyokong JDT naik angin dan meluahkan rasa marah setelah jaringan penyamaan lewat permainan oleh Jorge Obregon dibatalkan pengadil, gara-gara offsaid.

Sebagai tanda protes, mereka melaungkan kata-kata kesat dan membaling botol ke arah penjaga garisan, Abdulhadi El Enezi. JDT tewas perlawanan itu 0-1 dan tersingkir daripada saingan ACLE.

Menurut kemaskini di Asean Football, ekoran daripada kegagalan mengawal penyokong mereka itu, JDT telah dikenakan denda sebanyak $24,000 USD (sekitar RM103,000).

Untuk rekod, ini bukan kali pertama JDT atau pemainnya didenda AFC. Sebelum ini, kapten mereka Natxo Insa didenda RM22,500 oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC gara-gara mengkritik dan mempersoalkan integriti pengadil selepas pasukan itu tewas 0-1 kepada Shandong Taishan.

Manakala pada 2023, JDT pernah didenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebanyak RM30,000 akibat daripada dua kesalahan kegagalan mematuhi obligasi penganjuran.

Untuk kesalahan pertama, JDT didenda RM15,000 susulan penyokong mereka mengejek dan melakukan provokasi terhadap penyokong lawan semasa perlawanan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2023 antara JDT dan Selangor MAC di Stadium Bandaraya Pasir Gudang.

Manakala bagi kesalahan kedua, kelab itu didenda RM15,000 setelah seorang penyokong pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) dipukul individu tidak dikenali sehingga menyebabkan kecederaan serius semasa final Piala FA 2023 antara JDT dan KL City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 22 Julai.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!