Setelah mengakhiri saingan pusingan pertama Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2025 dengan prestasi kurang memberangsangkan, Kedah nampaknya membuat rombakan besar terhadap skuad.
Skuad hijau kuning baru-baru ini mengumumkan telah melepaskan empat pemainnya iaitu Yazid Kamaruzuan, Shamsuri Salleh, Nur Lukman Yaakob dan pemain import Cesar Shammir Olmedo Ayala.
Dan kini, mereka menerbangkan bintang import dari Jepun, Higuchi Takeshi untuk memperkuat pasukan bermula pusingan kedua.
“Pemain berusia 27 tahun yang berasal dari Hokkaido, Jepun ini bakal memperkuat benteng pasukan sebagai seorang fixo yang cukup berpengalaman.
“Pernah beraksi dalam kancah MPFL musim 2023 dan kelab ternama di negaranya, Takeshi hadir dengan disiplin tinggi dan semangat juang dari bumi Samurai. Kini, beliau sudah bersedia mencurahkan segala kudrat untuk membantu pasukan melangkah lebih jauh,” menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Kedah.
Untuk rekod, Kedah yang muncul naib juara saingan Divisyen Dua 2024, ketika awal musim tempoh hari dianggap mampu menjadi antara pencabar kuat dalam MPFL setelah merekrut ramai pemain berkualiti.
Namun, jangkaan itu meleset setelah mereka mencatat kekalahan demi kekalahan, sekaligus menduduki tangga kedua tercorot dengan hanya empat mata.
Kekalahan terbesar mereka adalah kepada JDT (11-2) dan Pahang Rangers (8-1). Skuad kendalian Aidiel Bong menang hanya sekali, iaitu menewaskan Sabah 3-1.
Aksi pusingan kedua akan bermula pada 22 Mei, dengan Kedah akan bertemu Selangor di laman sendiri.