Jurulatih berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah kini berpeluang melakar sejarah peribadi untuk menjadi jurulatih pertama Malaysia memenangi piala di Brunei Darussalam apabila membawa cabaran Indera SC dalam final Piala FA Brunei yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025.
Dia yang berpengalaman melatih lapan kelab di Indonesia telah dipilih pengurusan Indera SC pada 9 Mei untuk membawa cabaran kelab itu di final menentang DPMM FC II sekaligus membuktikan keyakinan kelab terhadap beliau.
Pernah berkelana di Bangladesh, kini jurulatih berusia 59 tahun itu mahu memastikan Indera SC berjaya mengulangi pencapaian muncul juara Piala FA Brunei musim 2017-2018.
“Saya menerima tawaran dari pemilik kelab, Pengiran Anak Taha pada 9 Mei 2025 sebagai persiapan untuk Piala FA Brunei musim ini. Bagi saya ini adalah satu bentuk kepercayaan yang besar buat saya dari pihak pengurusan untuk memastikan Indera SC mampu bersaing di final bertemu DPMM FC II .
“Saya berharap para pemain mampu fokus setelah beberapa tahun tidak ke final dan berdisiplin dalam menerapkan taktikal dan strategi untuk menang sekaligus bergelar sebagai juara.
“Sebagai jurulatih luar, semoga dengan izin Allah, urusan kami dipermudahkan untuk muncul juara dan saya mampu mengibarkan bendera Malaysia tinggi seperti waktu saya melatih di Indonesia dan Bangladesh,” katanya menjelang aksi final pada Ahad.
Meskipun baru memulakan tugasan di Brunei, namun Raja Isa melihat bola sepak di negara itu mempunyai potensi yang sangat besar dan dia berbangga kini menjadi sebahagian daripada keluarga besar ekosistem sukan paling popular itu.
“Pandangan peribadi saya adalah bola sepak di Brunei ini mempunyai potensi besar untuk berada di tahap terbaik dengan semua pihak harus bekerjasama bagi memastikan penerapan filosofi dan DNA yang sesuai untuk bola sepak Brunei,” jelasnya.
Aksi sulung Raja Isa bersama Indera SC menyaksikan kelab itu berjaya menewaskan MS ABDB 4-2 sekaligus layak ke final dengan aggregat 7-3 dan kini hanya selangkah untuk bergelar juara sekaligus mencipta sejarah peribadi.
Final Piala FA Brunei 2024-25 akan berlangsung di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah dengan Indera SC menerima cabaran juara bertahan DPMM FC II.