Bekas pertahanan tengah Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic menafikan dakwaan viral di media sosial yang mengaitkan dirinya bakal menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.
Kecoh baru-baru ini Argzim beralih angin ke JDT selepas meninggalkan TFC, bagi memudahkannya mendapatkan taraf pemain naturalisasi.
Kononnya ini kerana dia sudah tujuh tahun bermain di Liga Malaysia namun sehingga kini gagal merubah statusnya kepada pemain tempatan, biarpun dia juga sudah berkahwin dengan gadis tempatan dari Cameron Highlands.
Dalam laporan disiarkan NSTP, pemain kelahiran Montenegro itu menegaskan bahawa berita tersebut sebagai cubaan untuk mencetuskan sensasi.
“Saya sendiri terkejut apabila terdengar khabar angin yang mengatakan saya akan menyertai JDT musim ini. Sejujurnya, tiada sebarang perbincangan atau tawaran daripada pihak JDT setakat ini,” jelas Redzovic.
“Namun, siapa yang tidak mahu bermain untuk JDT? Ia adalah kelab terbaik di Asia dan saya percaya semua pemain memasang impian untuk menyarung jersi mereka. Jika ada tawaran, sudah tentu saya akan pertimbangkan sebaik mungkin,” tambahnya lagi.
Redzovic, yang kini berusia 33 tahun, turut memaklumkan bahawa dia masih belum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan selepas dilepaskan oleh TFC. Tambahan pula, dia masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan.
“Buat masa ini, saya belum membuat sebarang keputusan kerana masih fokus kepada pemulihan. Tapi saya memang berhasrat untuk terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia, yang bagi saya sangat kompetitif. Kita tunggu dan lihat bagaimana nasib saya musim depan,” katanya.
Untuk rekod, Redzovic memulakan kariernya dalam Liga M pada 2018 bersama PDRM FC.